28 rakyat Malaysia di Wuhan terkepung
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia di Wuhan,China yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar dan golongan profesional dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan bebas daripada wabak koronavirus.
Seramai 28 rakyat Malaysia kini menjalani perintah berkurung susulan penularan coronavirus 2019-nCOV di bandar raya itu.
Duta Malaysia ke China, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin, ketika mengesahkan situasi itu, berkata 87 lagi rakyat Malaysia yang didaftarkan menetap di bandar raya Wuhan dan sekitar wilayah Hubei, pula meninggalkan kediaman masing-masing di negara itu untuk pulang ke kampung halaman sempena cuti Tahun Baharu Cina.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya sedang giat memantau perkembangan semasa rakyat Malaysia yang masih berada di Wuhan dan kota berdekatan, selain menyediakan talian khusus menghubungkan enam pejabat konsulat iaitu Shanghai, Guangzhou, Kunming, Nanning, Xi’an dan Hong Kong.
Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya berkata pihak kedutaan Malaysia di China sentiasa memantau keadaan rakyat negara ini yang menetap di sana dan terus menyalurkan maklumat berkaitan.
"Kita memantau rakan-rakan kita yang berada di sana (Wuhan) terutama warga Malaysia dan saya berharap sangat rakyat Malaysia yang berada di sana cepat-cepat menghubungi kedutaan kita di sana.
Kedutaan kita beroperasi 24 jam untuk memantau segala maklumat dan segala permasalahan rakyat negara ini yang berada di Wuhan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang di Pusat Konvensyen Setia SPICE di sini hari ini.
Marzuki berkata setakat pagi ini 1,300 orang disahkan terkena jangkitan wabak koronavirus dan peningkatan kematian juga dilaporkan bertambah daripada 21 orang kepada 46 orang, di Wuhan.
Sementara itu Marzuki berkata kerajaan tidak melarang mana-mana individu yang ingin ke Wuhan tetapi sebaik-baiknya mereka membatalkan hasrat ke sana pada masa ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
