80% dari sejuta permohonan sudah lulus, Lim Guan Eng


KUCHING,17 Jan: Keseluruhannya sebanyak 800,000 daripada satu juta permohonan program e-Tunai Rakyat dari seluruh negara ini telah diluluskan sejak program terbabit dilancarkan kerajaan pusat Selasa lalu sehingga malam ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata demikian dengan program terbabit yang sudah berjalan selama tiga hari membolehkan rakyat Malaysia berkelayakan iaitu berusia 18 tahun keatas dan berpendapatan kurang RM100,000 setahun menuntut RM30 pemberian kerajaan pusat melalui tiga pengendali e-dompet iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go.

"Jadi pilihlah yang mana satu kamu ( rakyat Sarawak) mahu, ada tiga pengendali e-dompet iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go. Kamu boleh membandingkan pelbagai tawaran mereka yang ada,"katanya ketika mengadakan sidang media mengenai program itu, di pusat beli belah The Spring, di sini, malam ini.

Lim tidak memberikan butiran jumlah pemohon program itu yang sudah diluluskan dari Sarawak setakat ini tetapi tahu ramai rakyat Sarawak mengunakan pengendali e-dompet Boost dan boleh memohon menyertai program itu.

Katanya program e-Tunai Rakyat terbabit bertujuan mengalakkan rakyat Malaysia mengunakan pembayaran digital dengan kerajaan pusat telah menyediakan sebanyak RM450 juta bagi inisiatif itu.

"Sebelum ini ada lapan juta rakyat Malaysia mengunakan pembayaran digital, kita mahu meningkatkan jumlah itu sehingga mencecah 15 juta melalui program ini,"katanya.

Lim berkata permohonan bagi mendaftar menyertai program itu sudah bermula 15 Januari lepas dan akan berakhir pada 9 Mac depan dan rakyat negeri ini ada tempoh dua bulan lagi bagi membuat permohonan itu.

Selain itu, beliau meminta rakyat Sarawak tidak khuatir tentang data peribadi mereka terdedah sekiranya menyertai program terbabit dan menafikan dakwaan yang kerajaan pusat mengunakan program itu bagi mendapatkan maklumat peribadi mereka.

"Kalau kita mahu mendapatkan data peribadi rakyat Malaysia, kita sudah ada itu dalam kad pengenalan, ia lebih terperinci dan menyeluruh," katanya. 

Selain itu, beliau berkata kerajaan pusat juga bukan syarikat perniagaan yang memerlukan maklumat itu dan apa sahaja data peribadi yang diperolehi melalui program itu akan disimpan secara sulit.

Lim juga berkata bagi rakyat luar bandar di Sarawak, beliau menasihatkan mereka mendapatkan bantuan dari wakil rakyat pihaknya bagi mendaftar memohon program itu dan orang ramai di luar bandar mesti ada telefon pintar dan juga perkhidmatan wifi. 

Disamping itu bagi masa depan, pihaknya merancang melaksanakan projek digitalisasi Jaringan Fiber Jalur Lebar Kebangsaan yang menelan kos sebanyak RM21.6 bilion yang akan siap dalam tempoh lima tahun yang akan juga meliputi kawasan luar bandar Sarawak.
tamat

keterangan gambar: 

1. Lim Guan Eng (tengah) bersama wakil tiga tiga pengendali e-dompet iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go ketika melawat pusat beli belah The Spring di sini, malam ini.
LihatTutupKomentar
Cancel