AirAsia dan Malindo Air gantung penerbangan ke Wuhan berikutan koronavirus
Airasia dan Malindo Air menggantung penerbangan ke Wuhan, China berikutan penularan koronavirus di bandar itu.
Memetik kenyataan AirAsia dalam newsroom.airasia, semua penerbangan dari Kota Kinabalu, Bangkok dan Phuket ke Wuhan digantung sementara sehingga 28 Januari 2020.
"AirAsia mematuhi nasihat dan peraturan daripada pihak berkuasa kesihatan sedunia dan tempatan, termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia," katanya dalam satu kenyataan.
Syarikat penerbangan itu menambah ia akan mengubah laluan ke mana-mana stesen penerbangan di tanah besar China yang lain atau mengembalikan tambang kepada penumpang.
Pelanggan yang mahu mengubah laluan atau tarikh boleh berbuat demikian untuk semua penerbangan sehingga 29 Februari 2020; atau kredit akaun untuk semua semua penerbangan sehingga 29 Februari 2020 atau wang dikembalikan sepenuhnya untuk semua penerbangan sehingga 15 Februari 2020 dan penerbangan pulang dari 16 hingga 29 Februari 2020.
Sementara itu, Malindo Air telah menggantung serta-merta penerbangan antarabangsanya di antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe, China.
Sementara itu Bernama melaporkan penggantungan penerbangan tersebut adalah sebagai tindak balas terhadap larangan perjalanan yang dikeluarkan pegawai di Wuhan berikutan penularan wabak koronavirus.
Wabak koronavirus yang dipercayai berasal dari Wuhan, telah menjangkiti 570 orang dan didakwa meragut nyawa seramai 17 orang setakat ini.
Wabak itu itu kini dikesan merebak ke Taiwan, Jepun, Thailand, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.
Beberapa negara, termasuk Malaysia, telah meningkatkan pemantauan di lapangan terbang untuk mengelakkan penyebaran virus berkenaan.
Sementara itu, Beijing telah mengenakan perintah kuarantin terhadap Wuhan yang didiami seramai 11 juta penduduk.
Semua pengangkutan awam seperti bas, subway dan feri dihentikan sementara bermula 23 Januari.
tamat
