Pendakwaan: Kenapa kerabat diraja Arab Saudi pindah sejumlah kecil wang ke akaun Najib?

Ilustrasi wang Euro
KUALA LUMPUR, 23 Jan -- Pendakwaan dalam perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana SRC International Sdn Bhd hari ini mempersoalkan "sejumlah kecil wang" iaitu sebanyak £2,216.01 (RM11,567.57) yang telah dikreditkan ke akaun bank peribadi bekas perdana menteri oleh kerabat diraja Arab Saudi pada 2014.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram menyatakan rasa ingin tahu mengenai wang berkenaan yang dikreditkan ke dalam akaun bekas menteri kewangan itu yang berakhir dengan angka ‘880’.

Sithambaram merujuk kepada pemindahan wang dari Vista Equity International Partners Limited, Seychelles pada 24 Nov 2014 yang dimasukkan ke akaun bank Najib dengan angka berakhir ‘880’, dua hari kemudian.

Apabila Sithambaram menunjukkan penyata bank itu kepada Najib, Ahli Parlimen Pekan itu mengesahkan bahawa wang itu telah dikreditkan ke dalam akaunnya.

Sithambaram: Lihat penyata bank November anda, jumlah yang dikreditkan dalam akaun anda?
Najib: Ya.
Sithambaram: Saya tidak faham kenapa kerabat diraja (Arab Saudi) memindahkan sejumlah kecil wang (RM11,567.57), agak pelik. Anda bersetuju dana itu daripada kerabat diraja Arab Saudi?
Najib: Ya.
Najib, 67, yang kini di peringkat pemeriksaan balas oleh pendakwaan berkata beliau tidak pernah membuat aduan kepada AmBank mengenai kesilapan pengurusan akaunnya sehingga akaun ditutup kerana tidak menyedari sebarang kesalahan ketika itu.

Najib juga tidak bersetuju dengan cadangan Sithambaram bahawa semua dana yang masuk ke lima akaun AmBanknya dari tahun 2011 hingga 2015 adalah untuk faedah peribadinya.

Sithambaram: Perbelanjaan dari akaun anda kepada Barisan Nasional, UMNO dan program sosial yang lain telah memberi manfaat kepada anda dalam kerjaya politik anda?

Najib: Ia bermaksud untuk kesinambungan kerajaan pada ketika itu.

Najib kini membela diri terhadap tujuh tuduhan menyalah guna dana SRC International berjumlah RM42 juta, yang terdiri daripada tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung.
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel