Tunggang motor tanpa lesen, cukai jalan sejak tujuh tahun lepas
KUALA LUMPUR, 23 Jan-- Seorang lelaki dengan selamba menunggang motosikal tanpa lesen memandu yang sah dan cukai jalan yang telah tamat tempoh sejak tujuh tahun lepas.
Itu antara hasil penemuan dalam operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur sempena Tahun Baru Cina tahun 2020, di Plaza Tol Batu, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), di sini, tengah malam tadi.
Ketika disoal, antara alasan yang diberikan lelaki berumur 31 tahun dan berasal dari Melaka itu adalah ketiadaan masa yang sesuai menyebabkannya tidak berkesempatan belajar bagi mengambil lesen memandu yang sah.
"Motosikal itu bukan milik saya. Saya hanya meminjam motosikal itu daripada saudara saya untuk kegunaan harian," katanya sebelum diberikan saman dan motosikalnya kemudian disita.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata sebanyak 1,144 motosikal telah diperiksa dan 87 daripadanya mempunyai pelbagai kesalahan termasuk lima motosikal yang disita.
“Dalam operasi ini, sebanyak 261 notis saman dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan seperti tidak mempunyai lesen dan cukai jalan tamat tempoh. Setakat ini, operasi berkenaan yang bermula pada Isnin lepas sehingga tengah malam tadi, sebanyak 818 notis saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan,” katanya.
Selain itu, pihaknya telah mengeluarkan satu notis saman terhadap pemandu bas yang didapati menggunakan telefon bimbit ketika memandu menerusi Operasi Penyamaran Sebagai Penumpang Bas sempena Tahun Baru Cina 2020.
-- Bernama

