CAP gesa MOA haramkan racun herba berasaskan ‘Glyphosate’
GEORGE TOWN, 23 Jan -- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) agar mengharamkan segera penjualan racun herba berasaskan ‘glyphosate’ kerana ia boleh memudaratkan kesihatan manusia dan hidupan liar serta menjejaskan alam sekitar.
Presidennya Mohideen Abdul Kader berkata ‘glyphosate’ semakin kerap dikaitkan dengan masalah kesihatan seperti kemandulan, kecacatan bayi sewaktu lahir, kerosakan sistem saraf, penyakit Parkinson dan beberapa jenis kanser.
“Selain menyebabkan kanser, glyphosate turut dikaitkan dengan peningkatan keguguran secara spontan, kecacatan bayi sewaktu lahir, penyakit kulit, masalah pernafasan dan penyakit saraf dan juga menjejaskan pelbagai hidupan dan mencemari air bawah tanah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, sisa ‘glyphosate’ sukar untuk disingkirkan melalui cucian mahupun terurai melalui cara memasak malah sisa itu kekal terdapat pada makanan selama lebih dari setahun, meskipun jika diproses, dikeringkan atau dibekukan.
“Di Malaysia terdapat lebih daripada 200 produk racun herba yang mengandungi glyphosate,”katanya.
Berikutan kesan keracunannya, CAP menggesa MOA mengharamkan racun herba berasaskan ‘glyphosate’ malah menyarankan kementerian itu untuk menumpukan kaedah pengeluaran hasil pertanian organik yang lebih selamat.
“Memandangkan racun herba ‘glyphosate’ boleh mendedahkan ancaman yang serius kepada manusia, hidupan liar dan alam sekitar, adalah wajar racun ini diharamkan atau dihapuskan secara berperingkat-peringkat di seluruh dunia dan juga Malaysia daripada mengikuti trend ini,” katanya.
Glyphosate merupakan salah satu racun herba yang paling meluas penggunaannya dalam sektor pertanian termasuk pertanian ladang kelapa sawit di negara ini kerana ia merupakan penghapus rumput rampai dan pelbagai jenis tanaman.
-- Bernama

