Dari kelawar kepada ular kemudian manusia?
KUCHING: Novel coronavirus yang sekarang diberi nama 2019nCoV dipercayai berasal dari kelawar kemudian ular (spesies Chinese Krait dan Tedung China) dan seterusnya manusia.
Individu pertama yang dijangkiti virus ini dilaporkan pernah pergi ke sebuah pasar borong makanan laut di Wuhan yang juga terkenal kerana turut menjual haiwan liar dan eksotik termasuk kelawar, ular, musang dan buaya.
Pasukan pakar penyelidik China mengumumkan perkara itu selepas mengkaji genetik virus baharu itu yang telah membunuh 17 orang setakat ini.
Bagaimanapun, pasukan penyelidik itu menemui kesukaran mengkaji mendalam virus itu kerana pasar borong makanan laut yang menjadi lokasi pertama penyebaran virus itu telah ditutup untuk kerja-kerja pembersihan selepas kes pertama dikesan.
Wabak 2019nCoV dikatakan ada persamaan dengan wabak SARS yang menyebabkan lebih 700 orang mati di China dan Hong Kong, 17 tahun lalu. Virus SARS dikesan berasal dari Musang Civet.
Susulan penemuan ini, kumpulan pencinta haiwan mengulangi desakan supaya manusia melindungi haiwan liar dan tidak membunuh haiwan-haiwan untuk dagingnya.
