Guru besar rompak kedai emas, bunuh mangsa termasuk kanak-kanak
BANGKOK, 23 Jan (Bernama) -- Seorang guru besar yang disyaki melepaskan tembakan rambang yang meragut tiga nyawa, termasuk seorang kanak-kanak, dalam satu rompakan bersenjata di Wilayah Lop Buri, Thailand dua minggu lepas berkata ‘masalah kewangan’ telah mendorongnya untuk berbuat demikian.
Lelaki berusia 38 tahun itu, yang merupakan guru besar di sebuah sekolah rendah di Wilayah Sing Buri, turut memohon maaf kepada keluarga mangsa dan mereka yang cedera dalam insiden tersebut.
Pada sidang akhbar di ibu pejabat polis di Bangkok hari ini, suspek yang ditahan di Bahagian Pencegahan Jenayah di utara Bangkok, berkata melalui panggilan telefon: “Saya minta maaf atas apa yang telah saya lakukan.”
“Saya rasa menyesal selepas mendapat tahu tentang kematian budak lelaki itu… maafkan saya,” katanya.
Suspek berkata dia tidak bermaksud untuk membunuh kanak-kanak itu namun “peluru sesat telah terkena mangsa.”
Pada 9 Jan, seorang lelaki bersenjata bertindak melepaskan tembakan rambang di kedai emas dalam sebuah pusat beli-belah di Wilayah Lop Buri. Suspek telah ditahan semasa dalam perjalanan ke sekolah pada Rabu pagi.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan bahawa penembak membawa sepucuk pistol yang telah dipasang alat penyengap dan melepaskan tembakan rambang ke arah pekerja kedai emas dan orang yang lalu-lalang.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang sedang berjalan berpimpin tangan dengan ibunya berhampiran kedai itu mengalami kecederaan akibat tembakan di bahagian kepala.
Seorang pengawal keselamatan dan seorang pembantu kedai turut maut dalam insiden itu manakala empat lagi cedera.
Perompak telah melarikan sejumlah besar barang kemas bernilai kira-kira 500,000 baht.
Sementara itu, suspek berkata dia melepaskan tembakan bagi memudahkan pergerakannya ke kedai emas itu dan menghalang orang ramai yang melihat insiden tersebut daripada mendekati serta menangkapnya.
Dia mengaku membunuh pembantu kedai dan pengawal keselamatan terbabit serta berniat untuk menyerah diri esok (24 Jan) kerana mempunyai beberapa aktiviti di sekolah.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Jeneral Suwat Chaengyodsuk berkata siasatan mendedahkan bahawa suspek bertindak sendirian dalam rombakan dan insiden tembakan rambang tersebut.
“Polis telah menemui barang kemas terbabit, 31 utas rantai emas, dalam sebuah bangsal kereta di sebuah rumah di Daerah Muang. Rumah itu milik bapa suspek. Kami telah mengambil senjata terbabit yang dimiliki bapanya,” kata beliau.
Suwat berkata suspek telah didakwa dengan pertuduhan membunuh, melakukan rompakan bersenjata dan menggunakan senjata api.
-- BERNAMA
*Gambar hiasan
