ATM bakal tubuh pemerintahan siber

KUALA LUMPUR: Pemerintahan Siber dan Elektromagnetik akan ditubuhkan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menghadapi ancaman siber, kata Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang.

Beliau berkata penubuhan itu bertujuan mengukuhkan penguasaan anggota keselamatan dalam berdepan ancaman ke atas domain siber yang dilihat semakin kritikal.

"Kita tahu kita hidup di dalam dunia dengan domain siber adalah amat penting dan bagi sesetengah pihak ia satu keperluan kritikal. Tidak memiliki keupayaan itu, kita tidak pasti terlindung.

Ancaman hadir dalam pelbagai cara dan kita hidup dalam dunia yang ancaman ke atas domain siber adalah salah satu daripada ancaman utama," katanya pada sidang media Majlis Perintah Ulung Panglima ATM Ke-21 di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Affendi berkata ancaman serangan domain siber boleh memincangkan negara sebagaimana disaksikan menerusi serangan siber seperti nafi khidmat (DoS), perisian hasad dan penggodaman yang ditaja negara musuh. 

"Sudah tiba masa ATM mendepani cabaran menerusi penubuhan itu (Siber dan Elektromagnetik) demi menentukan bukan sahaja kemampanan rangkaian ATM malahan keselamatan kepentingan negara di dalam domain siber," katanya.

Terdahulu berucap pada Majlis Perintah Ulung Panglima ATM Ke-21 di Wisma Pertahanan di sini, Affendi berkata pihaknya akan memperkasakan kesiapasiagaan aset ATM yang menjadi antara teras beliau sebagai Panglima ATM yang baharu.

Menurutnya, pengekalan aset pada kesiagaan tertinggi bertujuan mempertahankan negara serta bertindak balas terhadap sebarang kemungkinan pada bila-bila masa.

Menyentuh mengenai integriti dalam kalangan warga tentera, Affendi berkata membendung salah laku dan mengukuhkan integriti dalam bidang ketenteraan akan menjadi antara teras dalam memperkasakan warga ATM. 

Beliau berkata aspek membudayakan integriti dan menghindari rasuah perlu dilaksana kerana warga berintegriti amat penting dalam menjadi penentu imej, kredibiliti dan reputasi angkatan itu dan negara.

"Pelan Anti Rasuah ATM telah dibangun dan perlu dilaksana sebagai kaedah penyelesaian bagi menangani ancaman rasuah," katanya.

Beliau berkata selain itu, aspek pendidikan integriti juga perlu diberi penekanan dan sehubungan itu ATM sedang membangunkan Modul Pendidikan dan Latihan Integriti (MPLI) untuk kegunaan Pusat Latihan Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia menjelang pertengahan tahun ini.

Inisiatif keterbukaan juga turut dilaksana dengan menaik taraf sistem aduan dalam talian sepenuhnya dengan penggunaan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), katanya sambil menjelaskan bahawa langkah itu bertujuan meningkatkan kecekapan dan pengurusan aduan lebih bersepadu selain mengangkat isu kebajikan, kepuasan warga dan pemantauan kepada integriti warga ATM secara teratur.

Turut hadir pada majlis itu, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima Tentera Udara Jen Datuk Seri Ackbal Abdul Samad dan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany. - Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel