Bapa maut, dua anak cedera kemalangan motosikal

BINTANGOR:Dua anak yang mengalami kecederaan terpaksa berjalan sejauh 500 meter bagi mendapat bantuan penduduk rumah panjang berdekatan dalam kejadian yang meragut nyawa ayah mereka.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu motosikal yang ditunggang tiga beranak berkenaan terbabit dalam kemalangan kendiri di Batu 3 Jalan KJD, Bintangor.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 8.30 malam.

 "Mangsa Semada Beti,58,berasal dari rumah Wong Batu 5, Jalan KJD Sungai Rayah Bintangor yang parah di kepala dan turut mengalami kecederaan di dada disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota paramedik.

"Anaknya Celine Sonia Semada,13, dan anak lelakinya berusia 5 tahun mengalami kecederaan," katanya di sini hari ini.

 Katanya,seorang mangsa dijumpai oleh pihak Bomba dalam keadaan tidak sedarkan diri bersebelahan iaitu kira-kira satu meter dari tempat kejadian di mana motosikal mangsa dijumpai.

“Ketiga-tiga mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari arah Julau menghala ke Sibu ketika kemalangan tersebut berlaku,"ujarnya.

Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
LihatTutupKomentar
Cancel