Bekas ahli lembaga pengarah pecah amanah RM170,000

KUALA LUMPUR: Seorang bekas Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pengurusan Ilmu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dana yayasan itu yang berjumlah lebih RM170,000.

Pengerusi Education Malaysia Global Service (EMGS), Datuk Abdul Rahman Mohamed Shariff, 63, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa sebagai ejen iaitu Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pengurusan Ilmu dan dalam kapasiti itu telah diamanahkan penguasaan ke atas harta iaitu dana milik yayasan itu, telah melakukan pecah amanah ke atas dana berkenaan.

Dia dituduh dengan curangnya menjadikan dana syarikat berkenaan bagi kegunaan dirinya dengan cara menyebabkan sejumlah RM150,000.00 daripada dana itu dibayar ke akaun bank milik Syarikat Mudra Resources Sdn Bhd kepunyaannya sendiri menggunakan cek Maybank Islamic Berhad bertarikh 22 Nov 2018.

Abdul Rahman juga didakwa melakukakan kesalahan sama berjumlah RM3,049.00 daripada dana itu bagi tujuan pembelian satu kotak cerut Montecristo Edmundo dan satu kotak cerut Romeo y Julieta Wide Churchill menggunakan cek bertarikh 13 Dis 2018.

Bagi pertuduhan ketiga dia dituduh melakukan kesalahan serupa  berjumlah RM25,000 daripada dana itu, yang dibayar ke akaun milik syarikat AK Success Sdn Bhd bagi tujuan pembelian Rational Combi Oven & Ultravent plus Exhaust Hood bagi pihak syarikat Coffee Sandwich Revival Sdn  Bhd milik isterinya, menggunakan lima keping cek bertarikh 13 Dis 2018. 

Lelaki itu dituduh melakukan semua kesalahan itu di Maybank Islamic Berhad, cawangan Taman Melawati di sini, antara 23 Nov 2018 dan 7 Jan 2019 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi 20 tahun, dan dengan sebat,  dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Farah Yasmin Salleh menawarkan jaminan berjumlah RM120,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM.

 Abdul Rahman yang diwakili peguam Datuk Salehuddin Saidin  memohon jaminan munasabah dan pasport anak guamnya tidak diserahkan kepada mahkamah.

“Berkaitan dengan syarat tambahan oleh pihak pendakwaan saya memohon supaya  pasport anak guam saya tidak diserahkan kepada mahkamah kerana anak guam saya mempunyai perniagaan di United Kingdom dan perlu menguruskan perniagaannya di sana,”katanya.

Mahkamah  membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Wilayah Persekutuan pada setiap bulan bermula Feb ini sehingga kes selesai.

Azura menetapkan 13 Feb sebutan semula kes. - Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel