Bekas tentera kantoi, air ketum dirampas

PASIR PUTEH: Pasukan Polis Marin (PPM) Tok Bali menahan seorang bekas tentera dan merampas 93 bungkusan air ketum dan 72 botol ubat batuk yang bernilai RM3,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Cherang Ruku di sini, petang semalam.

Pegawai Memerintah Tektikal PPM Tok Bali, ASP Nik Ali Nik Mat berkata dalam serbuan pada 4 petang semalam, polis menemukan 93 bungkusan air ketum yang disimpan dalam dua tong fiber dan 72 ubat batuk disimpan dalam satu kotak.

“Kesemua barangan itu disembunyikan di dalam stor di hadapan rumah terbabit,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.

Nik Ali berkata sepasukan polis yang disertai 13 anggota melakukan serbuan ke rumah berkenaan selepas mendapat maklumat hasil risikan.

Beliau percaya barangan berkenaan untuk diedarkan kepada pelanggan di kawasan sekitar termasuk daerah Besut, Terengganu.

Katanya lelaki berumur 37 tahun itu direman empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 (Pindaan 2003).

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel