Bubuk datang lagi....
Antara lokasi yang terkenal menjual bubuk di Miri ialah gerai bersebelahan pantai Lutong dan kawasan pantai di Batu 1, Kuala Baram.
Seorang penjual, Noraini Mohamad Hassan berkata, beliau sudah menjual bubuk sejak seminggu lalu.
“Buat masa ini saya mampu menjual sehingga 500 kilogram dengan harga RM6 sekilogram. Sekiranya bekalan terlalu banyak, harga boleh turun sehingga RM2 sekilogram,” katanya ketika ditemui.
Penjual biasanya memberikan diskaun untuk pembeli yang membeli lebih.
Beliau yang mempunyai pengalaman berbelas tahun menjual dan mengendalikan bubuk menambah, setiap hari beliau boleh meraih pendapatan sehingga antara RM2,500 hingga RM3,000.
Katanya, bubuk yang tidak habis dijual akan dijemur untuk dijadikan bubuk kering, sebagai bahan sambal.
Selain bubuk, penjual turut menjual garam kasar untuk memudahkan pembeli yang mahu membuat belacan atau cencaluk.
Seorang penjual di Batu 1, Kuala Baram memberitahu, tangkapan bubuk bergantung dengan keadaan ombak.
“Pada masa tertentu, kami turun sehingga tiga kali ke laut, namun ia bergantung kepada ombak. Jika ombak atau angin terlalu kuat, kami tidak turun,” katanya sambil menambah biasanya si suami akan menangkap bubuk manakala isteri berjual di gerai.
Sementara itu, bubuk di kedua-dua kawasan ini bukan hanya menjadi tumpuan pembeli tempatan malah pembeli dari luar Miri termasuk Brunei.