638 kemalangan di Sarawak sepanjang Op Selamat
KUCHING:Sarawak mencatatkan peningkatan jumlah kemalangan dan kemalangan maut sepanjang 12 hari tempoh Op Selamat 16 sempena Tahun Baru Cina (TBC) 2020 yang dilaksanakan di seluruh negeri.
Setakat semalam sebanyak 638 kemalangan dicatatkan diseluruh negeri.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebanyak 18 kes kemalangan maut dicatatkan berbanding sejumlah 15 kes untuk tempoh yang sama pada tahun lalu.
"Penunggang motosikal mencatat kes kamtian paling tinggi iaitu 10 orang, pembonceng motosikal (2), pemandu kereta (2), penumpang kereta (1) dan pejalan kaki (3),"katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media penutupan jalan sempena acara perlumbaan berbasikal Petronas Le Tour De Langkawi (LTDL) 2020 bertempat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini, hari ini.
Katanya, Bahagian Betong mencatatkan peningkatan kemalangan sebanyak 53 peratus dengan 150 kes berbanding hanya 97 kes untuk tempoh yang sama tahun lalu.
"Bahagian Kuching mencatatkan penurunan kes kemalangan berbanding tahun lalu,"ujarnya.