Jalan ditutup untuk Le Tour De Langkawi
KUCHING, 30 Jan: Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Sarawak meminta penduduk bandar raya ini bersedia dengan penutupan jalan bagi perlumbaan berbasikal Petronas Le Tour de Langkawi (LTDL) 2020 Edisi Ke 25 pada 7 Febuari depan seawal jam 7 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata perlumbaan itu dengan jarak sejauh 100 kilometer (km) bermula dan berakhir di Padang Merdeka di sini akan bermula jam 8.30 pagi sehingga jam 11.30 pagi.
"Laluan perlumbaan dari Padang Merdeka, ke hadapan Balai Polis Sentral, seterusnya Tebingan Kuching, Hotel Grand Margherita, Bulatan Sri Aman, Dewan Suarah Kuching dan lampu isyarat Jalan Badruddin di sebelah depan Ibupejabat Kontinjen (IPK) Sarawak ini,"katanya ketika mengadakan sidang media perlumbaan itu di IPK Sarawak, di sini, hari ini.
Alexson berkata seterusnya pelumba akan belok ke kanan hingga lampu isyarat Bangunan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan belok ke kiri melalui jejambat Satok dan terus ke Jambatan Satok, Bulatan Abang Kipali, Bulatan Semariang, Bulatan Sesco, Bulatan Medan Hamidah dan Jalan Bako hingga Kampung Bako.
"Di Kampung Bako, perlumba akan berpatah balik ke pusat bandar dan akan melalui lampu isyarat Pelabuhan Senari, Bulatan Bako (Demak Industrial), Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), I-Com Square sehinggalah Sekama,"katanya.
Dari Sekama, perlumbaan ke Jalan Batu Lintang, lampu isyarat Wisma Saberkas, belok kanan ke lampu isyarat Jalan Badruddin, lampu isyarat RTM, belok ke kiri bawah jejambat Satok, melalui Masjid Bahagian, Tebingan Kuching dan Padungan.
Seterusnya perlumba akan melakukan pusingan u-turn di depan Jalan Abell di Padungan serta memulakan pusingan loop yang sebanyak enam kali sejauh 31.8 km.
"Laluan ( satu pusingan) loop adalah dari lampu isyarat RTM ke bawah jejambat Satok, melalui Tebingan Kuching dan membuat pusingan u-turn di Padungan serta masuk semula ke Tebingan Kuching dan Padang Merdeka,"katanya.
Alexson berkata keseluruhanya sebanyak 62 jalan, bulatan dan lampus isyarat sekitar bandar raya ini akan ditutup bagi memberikan laluan kepada perlumbaan itu yang juga akan melalui 23 sekolah dan kolej, 14 kampung, 10 premis perniagaan utama dan dua masjid di bandar raya ini.
"Saya ingin menasihatkan orang ramai terlibat di laluan dinyatakan di atas tadi supaya mengetahui tarikh, masa dan tempat bagi perlumbaan ini dan seterusnya merancang masa perjalanan mereka semasa hari perlumbaan,"katanya.
Beliau berkata pihaknya akan menjangka akan berlaku kesesakan lalu lintas ketika penutupan jalan pada hari perlumbaan itu kerana adalah hari persekolahan dan umat Islam akan bersembahyang Jumaat.
Alexson juga tidak mengetahui jumlah keseluruhan pelumba basikal menyertai perlumbaan antarabangsa (LTDL) 2020 itu tetapi dimaklumkan penganjurnya ada 22 pasukan lumba basikal dari dalam dan luar negara akan menyertainya serta perlumbaan ditayangkan ke banyak negara.
tamat
keterangan gambar:
1. Supt Alexson Naga Chabu ( tengah) ketika mengadakan sidang media mengemai penutupan jalan bagi perlumbaan berbasikal Petronas Le Tour de Langkawi (LTDL) 2020 Edisi Ke 25 pada 7 Febuari depan.