Dampingi masyarakat, tingkat prestasi kerja
SIMUNJAN,29 Januari - Seramai 18 orang yang terdiri daripada pegawai kanan, anggota dan pegawai awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan menerima sijil penghargaan atas sumbang bakti dan kejayaan yang dicapai.
Majlis penyampaian sijil disempurnakan Ketua Polis Daerah Simunjan,Deputi Superintendan (DSP) Merbin Lisa di program Perhimpunan Bulanan IPD Simunjan bagi bulan Januari 2020 hari ini.
Berucap di majlis itu.Merbin mahu anggota dan pegawai IPD Simunjan mempertingkatkan kualiti kerja bagi memastikan segala perancangan atau Indeks Prestasi Kerja (KPI) yang ditetapkan pucuk pimpinan dapat dicapai.
Menurutnya,pada tahun ini program mendampingi masyarakat akan diperhebatkan melalui komuniti kepolisian masyarakat.
"Warga IPD Simunjan wajib menambahbaik penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan iaitu masyarakat.
"Segala laporan atau dokumen serta perkhidmatan dilaksanakan dengan kadar segera atau dibuat sehingga selesai tanpa berlengah khasnya daripada sudut siasatan,"katanya.
Beliau turut mengingatkan anggota dan pegawai supaya menjauhi perlakuan jenayah, dadah, judi dan keberhutangan yang serius.
"Integriti dan disiplin menjadi asas penting sebagai seorang penguatkuasa undan-undang.
"Dengan kesungguhan dan keikhlasan bekerja demi masyarakat tidak mustahil kita boleh mencapai standard world class police dengan syarat kemudahan yang diberi adalah berkualiti dan diiktiraf oleh masyarakat atau pelanggan,"katanya.