Jurukimpal rogol gadis bawah umur
KANOWIT: Seorang juru kimpal diberkas polis selepas merogol gadis bawah umur di taman permainan berdekatan Kubu Ema, di sini awal pagi semalam.
Suspek berusia 41 tahun berjaya ditangkap di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Delta jam 1.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kanowit, DSP Tega Bilong berkata, mangsa berusia 14 tahun mengaku telah melakukan hubungan seks di taman permainan tersebut awal pagi selepas disoal ibunya.
"Suspek ditangkap satu jam selepas laporan polis dibuat ibu mangsa tengah malam tadi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan pelajar tingkatan dua telah dibawa oleh suspek ke sebuah taman permainan berkenaan sekitar jam 5 pagi Rabu.
"Mangsa tidak melawan apabila suspek mengajaknya melakukan hubungan seks,"ujarnya.
Beliau berkata, suspek kemudian terus beredar dan membuat persembahan tarian singa, sementara mangsa berjalan kaki ke sebuah kedai kopi untuk bekerja sambilan semasa cuti sekolah.
Mangsa adalah anak kedua daripada tiga orang adik beradik dan difahamkan dia telah menjalinkan hubungan dengan suspek sejak awal bulan ini.
Suspek merupakan seorang juru kimpal beranak tiga dan sudah bercerai sejak 13 tahun lalu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol kanak-kanak bawah umur.