DAP dicabar keluar Pakatan Harapan?
KUALA LUMPUR: Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Bersatu, Muzzammil Ismail menggesa pimpinan tertinggi DAP mengeluarkan kenyataan berhubung pendirian sebenar berkenaan ugutan Timbalan Setiausaha Agung DAP Nga Kor Ming untuk tidak teragak-agak keluar dari Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, tekanan politik berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) menganggu proses urus tadbir kerajaan.
“Di sini kita lihat DAP tidak mencerminkan kebijaksanaan dalam mengurus politik mereka.
“Jika benar mereka mahu keluar, saya fikir secara peribadi eloklah, tidak perlu teragak-agak dan ugut mengugut sebaliknya keluarlah jika itu yang dihasratkan,” tegasnya kepada Malaysia Dateline.
Nga yang juga Pengerusi DAP Perak dalam wawancara bersama Oriental Daily berkata, kesepakatan telah dicapai bahawa parti roket itu tidak akan teragak-agak keluar dari kerajaan jika UEC tidak diiktiraf.
UEC merupakan sijil peperiksaan sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) yang berada di luar sistem pendidikan kebangsaan.
Mengulas lanjut, Muzzammil menyifatkan kaedah ugut-mengugut seperti itu menyebabkan PH semakin rapuh.
“Persepsi akan timbul di mana keputusan yang akan dibuat oleh kerajaan hanya dipengaruhi oleh DAP.
“Dari sudut politik pula, kami parti yang mengangkat maruah orang Bumpitera dan Islam sudah pasti akan tercalar dan diperlekehkan oleh pihak lawan terutama daripada Umno dan Pas,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berpendapat Perdana Menteri tidak akan menuruti tuntutan supaya UEC diiktiraf.
“Kami tidak rasa YAB Tun Dr Mahathir selaku pemangku Menteri Pendidikan Malaysia hari ini akan tunduk dan akur dengan ugutan sedemikian,” tambahnya lagi.
Dalam hal berkaitan, Felo Utama Bersama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong pernah dilapor berkata, cadangan Kementerian Pendidikan untuk mengiktiraf dan mengguna pakai UEC bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) adalah tidak adil kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Pakar bahasa Melayu itu menegaskan sekolah persendirian Cina tidak pernah berada dalam sistem dan dasar pendidikan kebangsaan.
Malah, hujahnya, sekolah persendirian Cina yang mengeluarkan sijil UEC pernah menolak tawaran kerajaan untuk menyertai sistem pendidikan negara pada 1962 kerana mereka mahu menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar.
Sementara itu, Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan Tan Sri Dr Rais Yatim juga pernah menyifatkan UEC sebagai isu besar nasional yang berupaya merosakkan dasar pendidikan tinggi negara.
Budayawan dan Pengerusi Yayasan Budi itu berkata, asas-asas pendidikan yang menzahirkan sijil UEC berbeza daripada pendidikan nasional.
Untuk rekod, pengiktirafan terhadap UEC yang merupakan produk sekolah persendirian bukan sekolah kerajaan ‘terselit’ di bawah Janji 50: Mengembalikan Wibawa Universiti Awam dan Pengajian Tinggi.
Berita penuh https://malaysiadateline.com/ugut-keluar-ph-armada-gesa-pimpinan-tertinggi-dap-nyatakan-pendirian/