Jambatan Sibuti - Gua Niah lonjakkan pelancongan
MIRI: Pembinaan infrastruktur seperti jambatan yang bakal dibina untuk menyeberangi sungai Sibuti dan Gua Niah mampu melonjak jumlah pelancongan terutamanya di Miri.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Haji Openg berkata, kawasan ini berpotensi untuk menjadi daya tarikan masayarakat seluruh dunia kerana mempunyai sejarah serta khazanah yang telah wujud sejak 60,000 tahun iaitu tapak peninggalan manusia.
“Kita bertuah kerana Gua Niah mempunyai tarikan tersendiri iaitu sejarah manusia yang datang di kawasan ini sejak 60,000 tahun yang lalu.
"Ia berpotensi untuk menjadikan kawasan ini sebagai salah satu tarikan di mata dunia,” katanya pada Majlis Malam Mesra SUPP Bahagian Miri maam tadi.
Sementara itu, beliau turut mendedahkan dengan adanya jambatan tersebut memudahkan perjalanan pelancong luar khususnya warga emas untuk melihat sendiri khazanah yang ada di Tapak Warisan Dunia (UNESCO) itu.
“Dengan adanya pembinaan jambatan yang menyeberangi Sungai Sibuti ke Gua Niah, pelancong dan warga emas juga boleh menjejaki kawasan tersebut," katanya.