Dua Adun, tiga mahkamah tinggi dengar hujah SOSMA

 
KUALA LUMPUR: Tiga Mahkamah Tinggi yang mendengar kes tiga tertuduh termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berdepan pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE akan memutuskan sama ada ketiga-tiganya terikat dengan satu keputusan Mahkamah Tinggi berasingan.

Keputusan sebelum ini mendapati Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) berhubung isu jaminan adalah tidak berpelembagaan.

Ketiga-tiga Mahkamah Tinggi itu akan mendengar hujah daripada peguam dan Timbalan Pendakwa Raya sebelum membuat keputusan.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan 24 Jan untuk mendengar hujahan sementara Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dan Hakim Collin Lawrence Sequerah masing-masing menetapkan 23 Jan ini.

Ketiga-tiga Mahkamah Tinggi itu sebelum ini menetapkan hari ini untuk mendengar permohonan jaminan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya P. Gunasekaren, 60, ADUN Gadek G. Saminathan, 35, dan ahli DAP, V. Suresh Kumar, 44.

Pada 29 Nov lepas, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan bahawa Seksyen 13 SOSMA tidak berpelembagaan dan bertentangan dengan Perkara 121 (1) Perlembagaan Persekutuan kerana ia melepaskan kuasa budi bicara kehakiman daripada mahkamah untuk menilai sama ada perlu atau tidak membenarkan atau menolak jaminan.
 
Hakim Ahmad Shahrir yang mendengar kes Saminathan berkata beliau ingin mendengar hujahan sama ada mahkamah itu terikat dengan keputusan Hakim Mohd Nazlan.

Hakim Sequerah yang mendengar kes Suresh Kumar juga meminta pihak-pihak terlibat berhujah mengenai isu sama.

Sementara Hakim Muhammad Jamil berkata sesuatu keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi tidak mengikat Mahkamah Tinggi lain berikutan mempunyai status yang sama dan mahkamah itu hanya terikat dengan keputusan yang dibuat oleh mahkamah lebih tinggi seperti Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.  

Ketiga-tiga tertuduh selaku pemohon diwakili peguam Ramkarpal Singh sementara Timbalan Pendakwa Raya Mohd Saifuddin Hashim Musaimi dan Low Qin Hui bertindak bagi pihak pendakwaan. 

Terdahulu, Ramkarpal berhujah memandangkan pihak pendakwaan tidak merayu terhadap keputusan Hakim Mohd Nazlan, ia menyebabkan Seksyen 13 SOSMA tidak lagi berkuat kuasa.

Mohd Saifuddin berkata Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas telah mengeluarkan kenyataan bahawa Jabatan Peguam Negara tidak akan merayu terhadap keputusan Hakim Mohd Nazlan itu.

“Ini bermakna pendirian Peguam Negara adalah Seksyen 13 SOSMA tidak berpelembagaan. Pihak pendakwaan akan mengendalikan setiap permohonan ikat jamin itu berdasarkan merit seperti ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Ketiga-tiga tertuduh dan sembilan lelaki lain sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen berasingan di sini dan di beberapa negeri pada Oktober tahun lepas atas pertuduhan antaranya memberi sokongan, memiliki item dan mengedar item berkaitan kumpulan pengganas itu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh ketika dituduh di Mahkamah Sesyen dan kes mereka kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini untuk dibicarakan. 

Selain Saminathan, Gunasekaren dan Suresh Kumar, sembilan lagi yang turut didakwa ialah pemandu teksi V. Balamurugan, 37; penghantar surat S. Teeran, 38; pengutip besi buruk A. Kalaimughilan, 28; ketua pegawai eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka S. Chandru, 38; juruteknik S. Arivainthan, 27, penjaga stor S. Thanagaraj, 26; pengawal keselamatan M. Pumugan, 29; guru Sundram Renggan @ Rengasamy, 52; dan peniaga B. Subramaniam, 57. - Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel