Dua lelaki seludup barang ditahan
MIRI: Dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras bernilai RM33,903.19 ditahan pada Khamis lalu.
Serbuan melibatkan sepasukan anggota Cawangan Penguatkuasaan Kastam Miri dilakukan di dua tempat berasingan di Jalan Batu Niah.
Hasil pemeriksaan pertama menemui 39,744 batang rokok dan 1,083.07 liter minuman keras tidak lulus Kastam di dalam premis berkenaan.
Serbuan kedua menjumpai 44,720 batang rokok dan 369.64 liter minuman keras yang disembunyikan di dalam sebuah van tidak berkunci tidak jauh dari premis tersebut.
Pengarah Kastam Negeri Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, modus operandi suspek ialah dengan memecahkan tempat persembunyian barangan untuk mengaburi penguat kuasa dan memastikan barang tersebut dapat dipasarkan tanpa gangguan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastan 1967 dan suspek boleh didenda 10 kali ganda nilai barang atau dipenjara tidak melebihi lima tahun.