Surat hak milik NCR 144 kampung Bidayuh
KUCHING, 11 Jan: Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) menjangkakan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak akan mengeluarkan sebahagian surat hak milik tanah adat (NCR) sebanyak 144 kampung Bidayuh di negeri ini pada Jun tahun depan.
Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi yang juga Penasihat DBNA, Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata demikian dengan JTS Sarawak sudah tiga kali bertemu dengan persatuan terbabit bagi tujuan itu selepas diarahkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
"Diharapkan seperti disasarkan anda (Ketua Menteri) juga, menjelang Jun tahun hadapan kami akan melihat sebahagian dari hak milik tanah NCR yang telah didokumenkan DBNA terbabit dikeluarkan (suratnya),"katanya ketika Majlis Perhimpunan Tahun Baharu 2020 DBNA, di Dewan Serbaguna DBNA, Jalan Kumpang, di sini, malam tadi.
Manyin sehubungan itu berterima kasih kepada Ketua Menteri yang juga hadir di majlis terbabit kerana mengarahkan JTS Sarawak mengeluarkan surat hak milik tanah NCR bagi 144 Kampung Bidayuh yang sudah didokumentasikan DBNA setakat ini dari keseluruhannya 300 kampung itu di Sarawak.
Katanya ketika ini dianggarkan seramai 220,000 orang suku kaum Bidayuh di negeri ini dan sebagai masyarakat minoriti, beliau mengingatkan suku kaum terbabit supaya membuat pilihan yang baik dari segi politik.
"Pilihannya ialah apa yang kita telah lakukan sejak berapa tahun lepas, iaitu bersama kerajaan hari ini dan kerajaan hari ini ialah Gabungan Parti Sarawak (GPS) katanya dengan GPS pula dipimpin Ketua Menteri.
tamat
keterangan gambar:
1. Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (tujuh dari kiri) mengucapkan selamat tahun baharu kepada DBNA bersama Dato Sri Michael Manyin Jawong (enam dari kiri) dan pemimpin Bidayuh lain di Majlis Perhimpunan Tahun Baharu 2020 DBNA, di Dewan Serbaguna DBNA, Jalan Kumpang, di sini, semalam.