Jugah Muyang Cadang Etnik Dayak jadi Pengerusi UNIMAS
PELANTIKAN Pengerusi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) baharu, yang pertama kali bukan orang Sarawak mengejutkan ramai pihak.
Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang berkata, ia sekali gus menimbulkan perdebatan kerana lantikan tersebut harus diberi keutamaan kepada orang tempatan Sarawak.
Tindakan Kerajaan Persekutuan dilihat menafikan kepentingan anak tempatan Sarawak dalam pelantikan berkenaan.
Katanya, ini pertama kali rakyat bukan Sarawak pertama dilantik ke jawatan itu kerana semua pengerusi sebelumnya merupakan rakyat negeri tersebut.
Jelasnya adalah penting bagi Kerajaan Persekutuan memahami bahawa ketika ini rakyat Sarawak amat mengharapkan autonomi dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) direalisasikan.
"Beliau merupakan pengerusi pertama yang bukan berasal dari Sarawak. Langkah ini adalah langkah kebelakang dalam perbincangan penurunan kuasa kepada Sarawak dan bercanggah sama sekali dengan semangat Perjanjian Malaysia MA63.
"Adakah kepentingan anak tempatan Sarawak khususnya keutamaan untuk memasuki Unimas kekal selepas tiada seorang pun orang Sarawak yang mengambil alih jawatan ini?" katanya
Jugah berkata, perkara-perkara yang berkaitan dengan perjanjian Malaysia MA63, hak Sarawak seharusnya berjalan lancar dan menunjukkan perkembangan yang baik. Ia juga harus disusuli dengan perbincangan dan penelitian.
Sarawak memang dikenali sangat unik kerana kepelbagaian etniknya yang turut menjadi kekuatan kepada rakyat negeri itu telah melahirkan semangat tolak ansur dan hormat menghormati yang tinggi sesama mereka.
Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak antara lambang perpaduan, keharmonian dan kekuatan rakyat di negeri tersebut yang boleh dijadikan model terbaik masyarakat berbilang etnik yang ingin menikmati kemakmuran hidup bersama.
"Adalah mustahil daripada 2.7 juta anak tempatan Sarawak tidak layak untuk menjawat jawatan itu.
"Sudah tiba masanya kerajaan Pakatan Harapan melakukan perubahan demi keseimbangan bilangan penjawat awam dengan mengambil kira komposisi semua kaum di Sarawak," tambahnya.
Katanya apa yang telah dilakukan oleh kerajaan terdahulu, membenarkan dasar tidak sihat dan tidak adil seperti itu seharusnya disemak semula dan diteliti oleh kerajaan Pakatan Harapan dalam usaha membina “Malaysia Baharu” yang adil kepada semua rakyatnya.
"Adakah anak tempatan dari kaum Dayak tidak ada yang berbakat dan berkaliber untuk dilantik ke jawatan Pengerusi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) baharu?
"Kerajaan Persekutuan seharusnya mempertimbangkan lantikan jawatan Pengerusi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) baharu dari kaum Dayak," tegas beliau.
Jugah juga berkata, sekarang adalah masa untuk melaksanakan perancangan supaya keseimbangan kaum dalam sektor awam negeri dapat dicapai sesuai dengan komposisi penduduk Sarawak.
"Saya menggesa tindakan holistik dan segera dapat diambil oleh Kerajaan Persekutuan demi kebaikan dan penyusunan semula yang adil untuk semua kaum.
"Isu ini bukan isu sensitif tetapi pelaksanaan dasar-dasar oleh kerajaan terdahulu menjadikannya isu sensitif dan Kerajaan Pakatan Harapan seharusnya tidak mengulangi kesilapan yang dibuat pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional," katanya.