Sarawak tidak naik tarif air, elektrik

SIMUNJAN: Kerajaan Sarawak tidak menaikkan tarif air dan elektrik di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberi jaminan, dua kemudahan asas itu amat penting malah pelbagai subsidi diberikan agar ia dapat dinikmati semua penduduk di negeri ini.

Katanya, Kerajaan Sarawak memberi subsidi RM5 pertama bil air domestik kepada setiap isi rumah di negeri ini.

"Kerajaan Sarawak membayar sepenuhnya kos penyambungan elektrik ke rumah panjang dengan kos RM5,000 setiap rumah.

“Manakala bagi kos penyambungan elektrik yang mencecah RM10,000 pula, Kerajaan Sarawak menanggung 70 peratus daripada harga kos. Dan, 30 peratus sahaja ditanggung tuan rumah,” katanya ketika berucap pada Program Rindok Digital semalam.

Abang Johari menegaskan, bekalan air dan elektrik harus ada di setiap rumah di negeri ini.

Katanya, apatah lagi Empangan Hidro Bakun kini menjadi milik Sarawak selepas diambil alih daripada Kerajaan Persekutuan.

Abang Johari berkata, semua negeri di Malaysia bersetuju menaikkan tarif air tahun ini kerana kadar utiliti itu tidak pernah disemak dalam tempoh 20 tahun.

Sementara itu, Kerajaan Persekutuan sebelum ini dikatakan bakal menaikkan tarif air untuk seluruh negeri.

Baru-baru ini, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar dilaporkan berkata, semua negeri secara dasarnya bersetuju menaikkan tarif air tahun hadapan manakala kadarnya akan dimuktamadkan selepas perbincangan selesai diadakan.

Beliau berkata pihaknya kini memperhalusi beberapa perkara berkaitan.

“Saya boleh katakan semua (negeri) setuju. Kita akan bentangkan kewajaran tarif air dinaikkan kepada semua negeri dan kadar utiliti ini tidak pernah disemak dalam tempoh 20 tahun.

“Pada masa sama, kerajaan memberi jaminan kenaikan tarif air ini munasabah, tidak membebankan pengguna dan kadar peningkatan tidak melebihi dua peratus daripada pendapatan isi rumah,” kata Xavier Jayakumar.
LihatTutupKomentar
Cancel