Gagal dua kali, Guan Eng perlu letak jawatan
KUCHING: Dua kali bentang di Parlimen, dua kali gagal dilaksanakan. Lepas itu tuding jari kepada MCA pula?. Presiden MCA Wee Ka Siong berkata, sehubungan itu, mereka salahkan rakyat kerana menuntut janji manis yang keluar dari mulut Lim Guan Eng dan kerajaan PH.
"Kalau ada dalam kalangan parti pembangkang yang menegur keputusan penangguhan PSP oleh Kerajaan PH, itu berdasarkan fakta, bukan berita tidak benar! Ianya tak salah pun kerana janji PH tidak ditepati," katanya dalam Facebook.
Ka Siong berkata, sudah terbukti gagal, lebih baik Lim Guan Eng letak jawatan saja.
"Guan Eng, perlu terima hakikat kegagalan kamu. Akui sajalah kelemahan diri sendiri.
Kalau tak boleh buat, kenapa umumkan dalam Belanjawan Negara? Ini sudah dua Belanjawan dibentangkan perkara sama tapi gagal dilaksanakan! Apakah pengumuman sedemikian sekadar mahu menyedapkan hati rakyat dan kamu boleh mendabik dada bangga? Apa yang hendak dibanggakan kalau ia gagal dilaksanakan? Sudah 18 bulan, apa lagi hendak kaji? Ka Siong berkata, semasa membentangkan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober tahun lalu, Guan Eng menggunakan taktik sama apabila mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.2 bilion untuk subsidi minyak bersasar.
Menurutnya, cuma kali ini sudah ada nama iaitu Program Subsidi Petrol (PSP). "Biarpun gagal melaksanakannya pada tahun 2019, namun Lim Guan Eng yang muka tebal ini tanpa rasa malu membentangkan perkara sama buat kali kedua di dalam dewan mulia, Dewan Rakyat. Guan Eng tak sebut pun status peruntukan RM2 bilion dalam Belanjawan 2019 yang tak digunapakai itu. Ke mana perginya?.
"Beberapa minggu lepas, kedengaran kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengenai mekanisme pelaksanaan PSP dan kementerian yang sama juga mengumumkan penangguhan PSP. Tapi salah MCA juga?," katanya.