Hadi Mohd Sharkawi dan Nur Syakura Mohamad Musa juara tilawah


MIRI: Hadi Mohd Sharkawi dan Nur Syakura Mohamad Musa sekali lagi tepilih menjadi johan qari dan qariah pada majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Sarawak bagi tahun 2020.

Kemenangan itu membolehkan kedua-dua peserta yang mewakili Bahagian Kuching masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, piala pusingan, piala iringan, hadiah iringan , sijil dan pakej menunaikan umrah.

Nur Syakura yang memperoleh markah tertinggi sebanyak 96 peratus turut diumumkan sebagai juara keseluruhan pertandingan.

Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam majlis yang diadakan di Dewan Suarah Miri, Khamis malam.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Muda Di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Abdul Rahman Junaidi, dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha.

Naib johan qari dan qariah jatuh kepada peserta dari Bahagian Kuching dan Mukah iaitu Mohd Safwan Mahli dan Roziah Ayup yang masing-masing menerima hadiah wang tunai RM7,000, piala iringan, hadiah iringan dan sijil.

Tempat ketiga pula kedua duanya disandang oleh peserta qari dan qariah dari Bahagian Miri, Hamim Mohd Shahib dan Farah Liza Mohamad Musa dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM5,000, piala iringan, hadiah iringan dan sijil.

Selain itu, lima peserta turut dipilih sebagai johan Menghafaz Al-Quran Peringkat Sarawak bagi tiga kategori melibatkan lelaki dan perempuan iaitu kategori 1-30 juzuk, 1-20 juzuk dan 1-10 juzuk.
LihatTutupKomentar
Cancel