Ibu negara baharu Indonesia diramal tidak banyak bantu pertumbuhan ekonomi


JAKARTA, 23 Jan -- Ibu kota baharu Indonesia hanya akan menyumbang tambahan sebanyak 0.02 mata peratusan kepada pertumbuhan ekonomi negara dan sekadar memberi  kesan jangka pendek, lapor agensi berita VNA memetik kajian Institut Pembangunan Ekonomi dan Kewangan (Indef).

Kajian itu mendapati dalam jangka pendek, ibu negara baharu akan menyumbang 0.17 mata peratusan kepada jumlah pelaburan, 0.02 mata peratusan jumlah eksport dan import manakala 0.05 mata peratusan dalam jumlah kadar pekerjaan.
Ia kerana ibu kota baharu itu hanya menempatkan kerajaan   dan bukan perniagaan, kata pakar ekonomi Indef Rizal Taufikurahman dalam forum perbincangan mengenai masa depan perniagaan di Indonesia pada Rabu. 

Selain itu, dianggarkan jumlah pertumbuhan output jangka pendek industri pembinaan meningkat 0.15 mata peratusan, pertumbuhan industri mineral dan keluli 0.1 mata peratusan dan industri kulit dan pengangkutan laut kira-kira 0.07 mata peratusan.

Ibu kota baharu yang akan dibina di kawasan seluas 256,000 hektar di Penajam Paser Utara dan Kabupaten Kutai Kartanegara di Kalimantan Timur, diramal memberi sedikit kesan dalam ekonomi, ujar Rizal. 

Kadar inflasi Kalimantan Timur juga akan meningkat sedikit hampir 0.1 mata peratusan dalam jangka pendek dan 0.04 mata peratusan jangka panjang.

Pemerintah Indonesia menganggarkan pembangunannya menelan kos 466 triliun Rp (US$34 juta), 54,.4 peratus datang dari kerjasama kerajaan-swasta, 26.4 peratus sektor swasta dan 19.2 peratus bajet negeri.
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel