Kebakaran rumah kedai: Warga India maut
KUANTAN, 23 Jan -- Seorang warganegara India ditemui rentung, selepas dipercayai terperangkap dalam bilik sewa di tingkat tiga sebuah bangunan kedai yang terbakar di Jalan Bukit Ubi di sini, tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata siasatan awal mempercayai mayat yang ditemui itu ialah Manikandan Murugan, 28, berasal dari Chennai, India.
"Mayat mangsa yang dikatakan bekerja di sebuah restoran berhampiran ditemukan dalam keadaan terlentang berdekatan salah satu tangga keluar, dipercayai cuba menyelamatkan diri namun tidak sempat.
"Bomba bagaimanapun berjaya mengetuk pintu unit sewaan lain dan menyelamatkan 27 lagi penghuni di situ terdiri daripada warga asing dan penduduk tempatan," katanya kepada pemberita semasa ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang Abd Rahim Muda dan Timbalan Pengarah JBPM Pahang Mohd Zahar Abdullah.
Ismail berkata kebakaran dipercayai bermula pada 12.53 tengah malam tadi, sebelum api berjaya dikawal pada 2.05 pagi oleh lapan pegawai dan 38 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Indera Mahkota, Taman Tas dan Gebeng.
Katanya mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini dan punca serta jumlah kerugian akibat kebakaran masih dalam siasatan.
Sementara itu, Abd Rahim berkata kerajaan negeri akan mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memeriksa dan mengeluarkan notis, terhadap mereka yang mengubahsuai bangunan kedai sebagai bilik sewa tanpa mematuhi spesifikasi dan aspek keselamatan yang dibenarkan.
"Kita tidak mahu kejadian seperti ini berulang, kerana pengubahsuaian yang mengabaikan aspek keselamatan seperti pendawaian, boleh meningkatkan risiko kemalangan dan kebakaran serta tidak selesa, jika dihuni dalam bilangan ramai.
"Unit sewa seperti ini dilihat menjadi alternatif kepada warga asing dan penduduk tempatan yang memerlukan tempat tinggal di tengah bandar dengan kadar sewa murah, kerana difahamkan sewa di sini antara RM150 hingga RM200 sebulan," katanya.
Abd Rahim berkata kejadian itu adalah yang kedua melibatkan bangunan kedai di Kuantan yang diubah suai menjadi bilik sewa, selepas kebakaran di Jalan Besar pada 11 Jun tahun lalu. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Katanya mangsa yang selamat dalam kebakaran itu kini ditempatkan sementara di Balai Komuniti Kampung Tengah di sini, manakala sebahagian daripada mereka memaklumkan akan menumpang di rumah kenalan atau saudara.
-- Bernama