Penumpang Sarawak pohon ihsan Air Asia
KUCHING: AirAsia Berhad digesa menggunakan jambatan udara di semua lapangan terbang di Sarawak.
Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berharap, AirAsia akan menggunakan jambatan udara untuk semua penerbangan AirAsia di Sarawak secepat mungkin.
"Kita dapat melihat bahawa di KLIA2, AirAsia menggunakan jambatan udara untuk penerbangan mereka semasa menurunkan penumpang mereka.
"Begitu juga, ketika penerbangan ke negara lain, mereka juga menggunakan jambatan udara. Kenapa mereka tidak berbuat demikian untuk penerbangan domestik, terutamanya di Sarawak.
"Sepanjang cuti Tahun Baharu Cina, ramai yang akan melancong bersama ahli keluarga," katanya pada sidang media di pejabatnya di MASJA selepas bertemu pegawai dari AirAsia Berhad dan Malaysia Airport Sdn. Bhd (MAB) semalam.
Lee menegaskan, pengecualian menggunakan menyebabkan kesulitan kepada penumpang terutamanya hari hujan.
"Ini boleh menyebabkan kejadian tidak diingini berlaku.
"Ia memudaratkan orang tua, orang sakit, orang kurang upaya dan kanak-kanak, "katanya.
Lee menambah, dia kerap menggunakan AirAsia ke luar negara, seperti Singapura dan China.
"Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, sejak dilantik sebagai Menteri Pengangkutan Sarawak, beberapa penumpang meminta saya untuk merayu kepada AirAsia untuk menggunakan jambatan udara bagi semua penerbangan ke Sarawak.
"Terdapat penumpang yang memberitahu saya bahawa mereka tidak keberatan AirAsia menambah satu ringgit tambahan dalam tiket penerbangan mereka untuk menggunakan jambatan udara," katanya.
Menurut Lee, kini terdapat kira-kira 150 perjalanan penerbangan setiap hari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) di mana 60 peratus perjalanan menggunakan AirAsia.
Menurut Pengurus Kanan MAB, bayaran untuk penggunaan jambatan udara di empat Lapangan Terbang di Sarawak adalah RM85 setiap penggunaan.
Statistik MAB menunjukkan bahawa majoriti penduduk Sarawak terbang menggunakam AirAsia.
Berdasarkan statistik MAB, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) sahaja mencatatkan 5.6 juta penumpang pada 2018, dan 5.9 juta pada 2019 yang melebihi kapasiti semasa di lapangan terbang iaitu 5.3 juta penumpang," katanya.
"Oleh itu, kementerian akan bertemu dengan MAB mengenai keperluan untuk mengembangkan bangunan terminal lapangan terbang di Kuching dan Miri," katanya.