Impak positif gaji minimum RM1,200
KUCHING, 10 Januari: Langkah kerajaan pusat menaikkan gaji minimum pekerja dari RM1,100 kepada RM1,200 sebulan yang baharu bermula 1 Januari lepas dijangka akan memberi kesan baik kepada kitaran ekonomi Sarawak.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata demikian kerana peningkatan gaji minimum pekerja terbabit akan seterusnya meningkatkan juga kuasa berbelanja mereka.
"Bila ada wang, mereka (pekerja tempatan) akan berbelanja dan apabila mereka berbelanja maka ekonomi (Sarawak) boleh berkembang. Ini yang dinamakan kami sebagai kitaran ekonomi yang baik,"katanya ketika merasmikan pembukaan cawangan pasaraya Everrise di CityOne Megamall, di sini, hari ini.
Chong Chieng Jen mengulas langkah kerajaan pusat menaikkan gaji minimum pekerja dari RM1,100 kepada RM1,200 sebulan di bandar utama bawah pentadbiran 57 Majlis Bandaraya dan Majlis Perbandaran seluruh negara ini bermula 1 Januari lepas.
Ini termasuklah bandar raya Kuching dan Miri selain Padawan, Sibu, Kota Samarahan, Bintulu di Sarawak.
Selain kenaikan gaji minima pekerja, beliau juga mendedahkan kerajaan pusat tahun ini turut melancarkan program e-wallets bagi membantu semua warga Malaysia berusia 18 tahun keatas yang berpendapatan kurang dari RM100,000 setahun.
"Mereka akan layak akan menerima sebanyak RM30 yang dikreditkan dalam (akaun) e-wallets masing-masing bagi dibelanjakan di mana cawangan kedai,"katanya.
Chong berkata program itu diharapkan merangsang perbelanjaan tempatan dan diharapkan membantu perkembangan sektor runcit dan borong di negara ini yang menjadi penyumbang utama ekonomi negara.
tamat
keterangan gambar:
1. Chong Chieng Jen (kiri) melawat cawangan pasaraya Everrise di Cityone Megamall selepas majlis pembukaannya di sini, hari ini.