Kad Kuasa Untuk Tangkap Penjahat?
KUCHING, 10 Januari: Ketua kaum di bandaraya ini mencadangkan pihak polis memberikan sijil yang dapat membuktikan mereka sebagai orang awam dibenarkan undang-undang untuk menangkap penjenayah.
Ketua Kaum Kampung Bintawa Batu, Meseli Drahman memberikan cadangan itu berikutan tertarik dengan wujudnya beberapa seksyen undang-undang yang membenarkan orang awam menangkap penjenayah di negara ini selain pihak polis.
"Saya meminta tuan (pihak polis) memberikan sijil terbabit kepada ketua kaum, ketua masyarakat dan lebih lagi masa ini penghulu kita yang ada wanita dan ketua kaum kita pun ada wanita juga,"katanya ketika sesi berdialog Hari Bertemu Pelanggan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching, di Pasaraya Mydin, Petra Jaya, di sini, semalam.
Meseli berkata dengan adanya sijil terbabit, mereka sebagai pemimpin penduduk tempatan dapat lebih berkeyakinan menangkap orang yang didapati melakukan jenayah dan tidak akan menghadapi masalah.
"Kami tahu cara menangkap orang itu (penjenayah), ikatkan kaki dan ikatkan tangannya. Tetapi kalau kami tiada sijil terbabit dan kami juga melihat orang itu handal dan tegap, akhirnya kami yang melarikan diri,"katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis (Operasi) Daerah Kuching, Supt Naazron Abdul Yusof di sesi dialog itu berkata undang-undang yang membenarkan orang awam menangkap penjenayah terbabit bukan sahaja boleh digunakan ketua kaum malahan semua orang dalam masyarakat termasuk anggota polis tidak bertugas.
"Jadi, kami tidak akan memberi sijil yang menyatakan orang ini boleh menangkap sesiapa, sebab sijil itu akan menjadi seperti kad kuasa polis,"katanya.
Beliau berkata sekiranya orang awam ada menangkap penjenayah, pasukan polis hanya akan memberikan mereka sijil penghargaan yang menyatakan pasukan terbabit berterima kasih kepada mereka kerana membantu membuat tangkapan itu dan mengekalkan keamanan di kawasan masing-masing.
Selain itu, pihaknya juga meminta penduduk bandar raya ini tidak sekadar mengambil gambar kejadian jenayah mengunakan telefon bimbit mereka sahaja tetapi juga bertindak menelefon polis secepat mungkin.
tamat
keterangan gambar:
1. Ketua Kaum Kampung Bintawa Batu, Meseli Drahman (tiga dari kiri) bersama Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani ( tujuh dari kiri) dan Supt Naazron Abdul Yusof (enam dari kiri) serta ketua kaum lain di bandar raya ini yang menghadiri Hari Bertemu Pelanggan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching, di Pasaraya Mydin, Petra Jaya, di sini, semalam.
2. Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani ( dua dari kiri) dan Supt Naazron Abdul Yusof (tiga dari kiri) dan pegawai polis lain yang menghadiri Hari Bertemu Pelanggan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching, di Pasaraya Mydin, Petra Jaya, di sini, semalam.