Lima ditahan, barang seludup bernilai RM368,514 dirampas
SIBU: Rokok, minuman keras, dan mercun bernilai RM368,514.37 dirampas dalam dua serbuan berasingan di Jalan Pan Borneo Stapang, Selasa lalu..
Serbuan dilakukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya merampas barang seludup tersebut membabitkan dua lori kargo.
Lima individu dipercayai terbabit dalam aktiviti penyeludupan tersebut turut ditahan bagi membantu siasatan.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, sekatan jalan raya dilakukan tiga pasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Kastam Sibu menahan dua lori.
Menurutnya, hasil pemeriksaan merampas sejumlah 1,486,360 batang rokok pelbagai jenama, 20,589,60 liter minuman keras dan 71.40 Kilogram (kg) mercun pelbagai jenis.
“Hasil keseluruhan rampasan sebanyak RM368,514.37 dan jumlah termasuk cukai sebanyak RM1,340,719.83,” katanya menerusi kenyataan.
Sharifah berkata, kesemua barangan tersebut dipercayai cuba dibawa ke bahagian lain untuk dipasarkan.
Beliau berkata, modus operandi meletakkan beberapa barang keperluan harian lain sebagai alat timbus untuk mengaburi pihak penguat kuasa yang menjalankan pemeriksaan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (e) Akta Kastam 1967, jika didapati bersalah suspek boleh dikenakan hukuman denda sepuluh kali ganda nilai barang atau penjara tidak melebihi lima tahun.