Lagi percubaan seludup benih kerang

ALOR SETAR, 15 Jan (Bernama) -- Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kedah menahan seorang lelaki dan merampas 13 guni benih kerang bernilai RM13,000 dipercayai untuk diseludup ke negara jiran, semalam.

Komander AKSEM Kedah Abdul Latif Abdul Rahman berkata rampasan dibuat selepas pihaknya menahan kereta jenis Proton Perdana dinaiki suspek berumur 22 tahun di Bukit Kayu Hitam pada pukul 6 petang.

“Sepasukan anggota AKSEM yang membuat rondaan di kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam telah mengarahkan pemandu kereta itu untuk berhenti, namun dia bertindak memecut laju. Kita terpaksa mengejar suspek hampir tiga kilometer sebelum berjaya menahannya di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kayu Hitam.

“Hasil pemeriksaan,kami menjumpai beberapa guni berwarna coklat mengandungi benih kerang di tempat duduk penumpang belakang dan di dalam bonet kereta berkenaan yang dipercayai dibawa dari Perak,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Abdul Latif berkata setiap guni tersebut berisi 20 kilogram benih kerang yang dianggarkan bernilai antara RM1,000 hingga RM1,500 setiap guni.

“Kita percaya benih kerang ini dibawa menggunakan lori sebelum dipindahkan ke kenderaan lebih kecil bagi mengelak dikesan pihak penguatkuasa. Hasil siasatan lanjut juga mendapati suspek menerima upah kira-kira RM1,000 untuk menghantar benih kerang itu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas kereta yang digunakan suspek dan diserahkan kepada Jabatan Perikanan Kedah untuk tindakan lanjut menurut Perkara 4 Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemulihan dan Kultur Kerang 2002) Akta Perikanan 1985.
-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel