Malaysia hantar pulang 150 buah kontena sisa plastik seberat 3,737 metrik tan
20 JANUARI 2020, BUTTERWORTH – Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) menghantar pulang sebanyak 150 buah kontena sisa plastik dengan anggaran 3,737 metrik tan ke negara pengeksport yang kebanyakannya negara-negara maju seperti Perancis, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Sepanyol dan Jepun.
Tindakan penghantaran balik kontena ini tidak melibatkan sebarang implikasi kos kewangan kepada Kerajaan di mana kosnya ditanggung oleh pihak pengimport atau syarikat perkapalan serta merupakan yang pertama kali dalam sejarah negara.
Tindakan penguatkuasaan diambil ke atas kontena sisa plastik yang telah diimport ke Malaysia secara haram serta tidak memenuhi kriteria pengimportan sisa plastik dan obligasi di bawah Basel Convention on Transboundary Movements of Hazardous Wastes and Their Disposal (Konvensyen Basel).
Usaha ini akan diteruskan oleh MESTECC bagi membanteras perdagangan sisa plastik secara haram dan seterusnya mengelakkan Malaysia daripada menjadi tempat lambakan sisa plastik.
Bagi tujuan itu, satu Pelan Tindakan Kebangsaan Bagi Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik (HS 3915) akan dilancarkan untuk menyeragamkan prosedur aktiviti penguatkuasaan di kawasan lapangan oleh agensi-agensi berkaitan seperti JAS, JKDM, JPSPN, SWCorp, Pihak Berkuasa Pelabuhan dan agensi lain yang terlibat.
Dalam sidang media di Pelabuhan Pulau Pinang, YB Yeo Bee Yin, Menteri MESTECC berkata: “Kerajaan Malaysia memandang serius terhadap isu kemasukan sisa plastik haram ke nagara ini dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan Malaysia tidak menjadi tong sampah dunia. MESTECC akan terus memerangi pencemaran rentas sempadan termasuk sisa plastik demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian negara.”
YB Yeo turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat dalam operasi bersepadu penghantaran semula kontena sisa plastik di seluruh negara.
Turut hadir di sidang media itu YB Isnaraissah Munirah Majilis, Timbalan Menteri MESTECC, YBhg. Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir, Ketua Setiausaha MESTECC, Ybrs. Puan Norlin Jaafar, Ketua pengarah JAS.