Mayat nelayan hilang ditemukan terapung

SANDAKAN, 26 Jan -- Mayat seorang nelayan tempatan yang hilang sejak tiga hari lepas ditemukan terapung berhampiran Sungai Anip, Kampung Forest di sini pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Sandakan Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata mayat itu ditemukan pukul 6.39 pagi tadi oleh penduduk kampung berkenaan.

"Mayat dibawa ke Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sandakan untuk diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan. 
“Mayat dikenal pasti sebagai Joekinal Angkalamai, 36, yang dilaporkan hilang tiga hari  lepas selepas pengecaman oleh isteri dan bapa mertua mangsa yang hadir di jeti tadi,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mangsa dilaporkan keluar memancing bersendirian menggunakan sampan di perairan Telukan Sandakan pukul 10 pagi pada 23 Jan lepas dan sepatutnya pulang pukul 5 petang hari yang sama.
Apabila mangsa tidak pulang ke rumah, isteri mangsa bertindak membuat laporan polis dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada 3.50 petang, 24 Jan.

Menurut Zainudin, operasi SAR yang masuk hari ketiga hari  ini turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan pencarian seluas 29 batu nautika persegi. 
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel