MBKS pantau aktiviti politik di flat

KUCHING, 17 Jan: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mahu semua pihak termasuk parti politik memaklumkan mereka terlebih dahulu sebelum mengadakan sebarang acara bagi membantu penyewa di kompleks KMC Flat di Padungan di sini.

Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng berkata ini kerana kompleks KMC Flat yang mempunyai lebih 500 unit rumah yang diduduki lebih dari 2,000 penyewa sama ada golongan miskin, ibu tunggal atau warga emas adalah berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan itu.
"Saya juga merayu sebagai Datuk Bandar bagi sesiapa sahaja yang membuat ( acara )pendaftaran atau apa-apa lagi (bagi membantu penyewa di kompleks KMC Flat), sila memaklumkan kami dahulu. Saya fikir apabila anda melangkah masuk ke rumah seseorang, walaupun bagi membersihkannya rumah secara percuma, anda mesti bertanya kepada pemiliknya sama ada mereka membenarkannya atau tidak, "katanya ketika mengetuai kira-kira 20 kaunselor dan kakitangan MBKS membantu warga tua yang juga penyewa di kompleks KMC Flat untuk mendaftarkan permohonan mendapatkan bantuan Kenyalang Gold Card (KGC) hari ini.

Wee juga mengakui sudah meluluskan permohonan satu parti politik baru-baru ini bagi mereka mengadakan acara membantu warga emas yang juga penyewa kompleks KMC Flat terbabit mendapatkan KGC.

Ini selepas parti politik terbabit ada menghantar surat permohonan mengadakan acara itu kepadanya dan berharap dengan kelulusan itu mereka tidak pula mempolitikkan KGC terbabit bagi agenda lain.
"Saya sudah meluluskannya, kerana mereka mengatakan mahu membantu ( penyewa memohon KGC). Bagi kami, kami (MBKS)menyokong setiap dasar yang baik oleh pihak kerajaan negeri dan adalah sesuatu yang baik bila semua menyokong (KGC) ini,"katanya.

Beliau berkata pada masa ini MBKS mempunyai senarai lengkap semua penyewa di kompleks KMC Flat dan dari senarai itu kira-kira 200 penyewa adalah layak untuk memohon KGC.

Manakala bagi membantu lebih ramai warga bandar raya ini memohon KGC, Wee berkata MBKS akan menubuhkan kaunter khas bagi membuat permohonan itu di pusat sehenti di bangunan ibu pejabatnya di Padungan, di sini, mulai Isnin depan dan kaunter akan dibuka waktu pejabat.

KGC adalah kad bagi membantu warga emas berumur 60 tahun ke atas di negeri ini untuk mendapatkan diskaun harga dan rebat apabila membeli barangan dan mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh sektor swasta.

Permohonan bagi mendapatkan kad terbabit yang sudah dibuka dengan kerajaan Sarawak dijangka akan melancarkan kad terbabit pada 7 Mac tahun ini.
tamat

 Keterangan gambar:

1. Dato Wee Hong Seng (kanan) bersama warga emas yang juga penyewa kompleks KMC Flat yang mendaftar permohonan mereka mendapatkan KGC dengan bantuan kaunselor dan kakitangan MBKS di kompleks terbabit di Padungan, di sini hari ini.

2. Dato Wee Hong Seng ( dua darikanan) memeriksa borang permohonan mendapatkan KGC daripada warga emas di kompleks KMC Flat, di Padungan, di sini hari ini.

3. Kompleks KMC Flat.
LihatTutupKomentar
Cancel