Pan Borneo berjalan lancar, Baru Bian

KUCHING: Kementerian Kerja Raya memandang serius aduan orang ramai yang menggunakan jalan di kawasan projek Lebuh Raya Pan Borneo.

Menterinya, Baru Bian berkata, pihaknya sudah membincangkan aduan yang diterima daripada orang awam mengenai kesukaran daripada kerja-kerja perlaksanaan projek ini terutama di kawasan Tatau, Balingian, Sibu dan Selangau.

“Maklumat kementerian mendapati satu daripada faktor yang menyebabkan kesukaran ini ialah jalan-jalan yang  digunakan oleh trak lebih muatan.”

“Selain itu, keadaan cuaca dan masalah dari segi penyelenggaraan dan pembaikan,” katanya kepada Borneo Post selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini. 

Baru yang juga Ahli Parlimen Selangau menasihatkan  pengguna jalan supaya tidak memandu terlalu laju di sepanjang lebuh raya yang masih dalam pembinaan terutama menjelang Tahun Baru Cina.

Mengenai perkembangan projek Pan Borneo, Baru memberitahu projek itu berjaya dilaksanakan 42 peratus berbanding 43 peratus yang dijadualkan.

“Kementerian saya bekerja rapat dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam merangka prosedur operasi standard (SOP) dan merancang apa yang perlu dilakukan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan dengan lancar,” katanya.

Sementara itu mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Baru bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas. 

Dalam pada itu, Baru berkata kira-kira 37 buah sekolah usang di negeri ini akan mendapat manfaat menggunakan peruntukan RM350 juta yang dilaksanakan pada separuh tahun pertama 2020.

Tambah Baru, baki RM350 juta daripada pinjaman kontra ini akan digunakan pada separuh kedua tahun ini dan RM300 juta lagi akan digunakan pada awal tahun 2021. 

Sumber Utusan Borneo

LihatTutupKomentar
Cancel