Misi tetap China PBB selar laporan HRW


NEW YORK, 15 Jan (Bernama) -- Misi tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menyelar laporan sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Human Rights Watch (HRW), baru-baru ini yang mengkritik rekod prestasi hak asasi manusia Beijing dan berkata ia adalah berdasarkan maklumat palsu serta bersifat prejudis.

Pada Selasa, HRW mengemukakan tinjauan tahunannya mengenai hak asasi manusia di seluruh dunia kepada PBB, yang mengkritik situasi di beberapa negara dan China menjadi negara paling teruk dinilai.

"Laporan itu, yang mempolitikkan isu hak asasi manusia, tidak menghiraukan kebenaran dan fakta selain menggunakan sejumlah besar maklumat palsu serta tidak disahkan, telah membuat dakwaan yang tidak berasas mengenai situasi hak asasi manusia di pelbagai negara termasuk China. Laporan itu penuh dengan prejudis dan dwistandard. China membantah dan menolak sepenuhnya laporan ini," lapor agensi berita Rusia Sputnik memetik kenyataan misi itu.

Kenyataan itu turut menyebut pelbagai langkah yang digunakan oleh pihak berkuasa China dalam usaha menjadikan hidup rakyat di negara tersebut bertambah baik.

"Kami telah mewujudkan sistem pendidikan, keselamatan sosial, penjagaan kesihatan dan demokrasi yang terbesar di dunia di peringkat sekolah rendah. Di negara kami yang berkeluasan 9.6 juta kilometer persegi, tidak berlaku peperangan, tiada pelarian, tiada keganasan dan hampir 1.4 bilion rakyat China tinggal dalam keadaan aman, bebas dan gembira. Ini adalah kemajuan terbesar yang pernah dicapai dalam hak asasi manusia, amalan terbaik hak asasi manusia dan sumbangan terbesar kepada perjuangan hak asasi manusia di dunia," menurut misi itu.

Selama bertahun-tahun, China telah dikritik oleh sesetengah komuniti antarabangsa mengenai cara ia menangani pelbagai isu hak asasi manusia seperti layanannya terhadap etnik minoriti terutama orang Uighur di wilayah Xinjiang, selain tapisan maklumat dan pengawasan berteknologi tinggi terhadap rakyatnya.

Beijing telah menafikan tuduhan itu secara konsisten dan mendakwa ia adalah berdasarkan maklumat palsu serta bermotifkan politik.
-- BERNAMA
 

LihatTutupKomentar
Cancel