Momota: Jepun ikuti media Malaysia



PUTRAJAYA, 14 Jan (Bernama) -- Liputan meluas media Malaysia mengenai kemalangan melibatkan pemain badminton nombor satu dunia, Kento Momota, semalam, menarik perhatian wakil media Jepun untuk dijadikan bahan berita ketika menunggu perkembangan pemain Jepun berkenaan di Hospital Putrajaya hari ini.

 Seawal pukul 7.00 pagi, wakil media Jepun yang 'berkampung' di hospital berkenaan ‘memborong’ suratkhabar tempatan termasuk akhbar berbahasa Melayu seperti Berita Harian dan Harian Metro di kedai serbaneka hospital untuk melihat gambar-gambar dan laporan mengenai Momota.

 Wakil media Jepun juga dilihat mengambil gambar akhbar Malaysia selain membuat 'stand upper' dengan memegang akhbar tempatan yang memaparkan laporan mengenai Momota sambil membuat ulasan.

 Foto Bernama yang memaparkan isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mengunjungi Momota di Hospital Putrajaya digunakan secara dominan di muka depan akhbar New Straits Times dan begitu juga di ruang utama StarSport, The Star.

 Antara yang media Jepun yang dilihat membuat ulasan mengenai liputan media tempatan mengenai Momota di sini ialah Asahi TV, Fuji TV dan Kyodo News. Ketua Biro Kyodo News Singapura dan Malaysia Risa Suzuki berkata beliau tidak menjangka berita mengenai nahas melibatkan pemain badminton itu akan mendapat liputan yang meluas.

 “Malah ia dilaporkan di muka hadapan. Saya tidak tahu yang Momota ada ramai peminat di Malaysia,” tambahnya. Suzuki berkata liputan yang meluas itu juga menunjukkan ramai rakyat Malaysia amat meminati sukan badminton. Sama seperti Malaysia, berita mengenai Momota turut dilaporkan dengan meluas oleh media di Jepun,” katanya. Dalam kejadian pukul 4.40 pagi Isnin, van membawa Momota dan tiga pegawai sukan yang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), dilaporkan melanggar belakang lori yang dikatakan sedang bergerak perlahan di Km13.7 Lebuhraya MEX di kawasan Serdang, mengakibatkan pemandu van, B.Nageswarau, 24, mati di tempat kejadian.

Selain Momota, 25, tiga lagi yang cedera dalam kemalangan itu ialah pembantu jurulatih Yu Hirayama, 35, pegawai fisioterapi Morimoto Akifumi, 42, serta William Thomas, 30, pegawai teknikal Persekutuan Badminton Dunia, dan kesemua mereka dirawat di Hospital Putrajaya.

Ahad lepas Momota muncul juara perseorangan lelaki Malaysia Masters 2020 di Axiata Arena, gelaran pertamanya pada kejohanan berprestij itu selepas beberapa tahun memburu gelaran berkenaan, selepas menewaskan bekas juara dunia Viktor Axelsen dari Denmark pada aksi perlawanan akhir. -- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel