Murid SK Siol Kanan pindah ke SMK Demak Baru
KUCHING: Jabatan pendidikan Negeri Sarawak mengsesahkan pelajar dan guru SK Siol Kanan dipindahkan sementara ke SMK Demak Baru.
Menurut kenyataan JPN Sarawak, Jabatan Kerja Raya Sarawak mengarahkan agar Aras 1 Blok Akademik SK Siol Kanan dikosongkan demi keselamatan murid dan guru khususnya serta warga sekolah.
Katanya, berdasarkan laporan pemeriksaan JKR Sarawak pada 23 hingga 24 Oktober adalah disahkan bahawa struktur bangunan tersebut tidak selamat untuk diduduki.
"Setelah mengadakan perbincangan dan pemuafakatan dengan Persatuan bapa dan Guru (PIBG) dan ibu bapa SK Siol Kanan dan SMK Demak Baru, persetujuan telah dicapai untuk menempatkan sementara murid-murid SK Siol Kanan di SMK Demak Baru," katanya.
Beliau berkata, tarikh penempatan sementara tersebut bermula pada 28 Januari 2020.
SK Siol Kanan dijadualkan sebelah petang dari jam 12.45 tengah hari hingga 6.00 petang manakala pengoperasian SMK Demak Baru akan dijadualkan padea 6.45 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Bagaimanapun katanya, penyelarasan operasi kedua-dua sekolah ini akan diadakan secara berterusan mengikut kesesuaian dan persetujuan kedua-dua pihak.
Pada 18 Oktober lalu, bumbung kantin di Sekolah Kebangsaan (SK) Siol Kanan di sini runtuh kira-kira pukul 12.50 tengah hari.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan kerana kebanyakan murid sudah pulang awal selepas tamat sambutan Hari Sukan.
Penolong Jurutera Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuching, Muhammad Ariff Adnan berkata, runtuhan dipercayai berlaku kerana terdapat kerosakan pada kerangka konkrit serta kerja-kerja pemasangan yang tidak menepati spesifikasi.
Beliau mengesahkan bahawa sebelum ini pihak sekolah memang sudah melaporkan kerosakan struktur bangunan itu kepada pihaknya sekitar awal bulan Oktober
“PPD juga sudah memaklumkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri mengenai situasi bangunan itu yang perlu dibaiki pada bahagian bumbung dana kerangka bangunan,” katanya.
(Gambar fail Azlin Keria)
