Nasib ADUN Dengkil ditentu esok

PUTRAJAYA:Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan membincangkan kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil Adhif Syan Abdullah dalam mesyuarat yang dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad esok (Jumaat), kata Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Media sebelum ini melaporkan Adhif Syan yang juga Pengerusi Armada Selangor merupakan antara 17 individu yang ditahan polis di kawasan kondominium di Kuala Lumpur pada Ahad, lepas.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Bersatu mempunyai garis panduan berkaitan soal etika parti dan disiplin parti.

“Tapi dari sudut imej parti dan disiplin parti kita akan putuskan esok. Jadi tunggu sajalah,” katanya kepada pemberita selepas majlis amanat tahun baharu 2020 Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Muhyiddin berkata beliau menyerahkan "bulat-bulat" kepada polis dalam kes berkenaan berdasarkan undang-undang, serta menambah bahawa keputusan ujian kedua air kencing ADUN berkenaan akan dikeluarkan oleh Jabatan Kimia.

— BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel