259 notis larangan merokok dikeluarkan

KUCHING: Sebanyak 259 notis termasuk 44 notis kepada warga asing dikeluarkan sepanjang tempoh dua minggu sejak larangan merokok dlaksanakan tahun ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Chin Zhin Hing berkata, mereka yang menerima notis kesalahan merokok di tempat makan dikenakan kompaun sebanyak RM250.

Kataya, untuk kesalahan pertama, kompaun boleh dikurangkan RM150 jika pembayaran dijelaskan di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh satu bulan daripada tarikh izin kompaun diterima.

"Bagi kesalahan kedua, tiada pengurangan kompaun diberikan dan bayaran penuh kompaun sebanyak RM250 dikenakan. Kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya," katanya.

Beliau menambah penguatkuasaan telah dijalankan melibatkan 9,082 buah premis tempat makan dengab sebanyak 347 notis kesalahan telah dikeluarkan dengan nilai keseluruhan kompaun sebanyak RM83,750.

Menurutnya, pemilik premis yang menerima notis kesalahan dikenakan kompaun sebanyak RM250 bagi kesalahan pertama dan kedua manakala bagi kesalahan kali ketiga dan seterusnya, kompaun yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM350. 

Beliau berkata, berdasarkan bilangan notis kesalahan yang dikeluarkan setiap hari, masih terdapat golongan perokok dan pemilik premis yang tidak mematuhi peraturan larangan merokok ini walaupun bilangan semakin berkurangan berbanding tiga hari pertama penguatkuasaan dijalankan.

"Justeru itu, pihak JKN Sarawak memohon kerjasama semua pihak agar mematuhi larangan merokok ini bagi memastikan kesihatan masyarakat sentiasa terjamin. 

"Bagi golongan perokok yang berhasrat untuk berhenti merokok, mereka dialu-alukan untuk mendapatkan khidmat nasihat di semua perkhidmatan berhenti merokok mQuit yang telah disediakan di semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negara atau di mana-mana fasiliti perkhidmatan berhenti merokok mQuit swasta yang telah diberikan akreditasi.
LihatTutupKomentar
Cancel