Warung hidang juadah classy?

KUALA PERLIS, 16 Jan (Bernama) -- Dalam situasi harga barang mentah seperti ikan, ayam, daging dan sayur-sayuran yang kian meningkat masih ada peniaga di sini yang sanggup  menjual makanan pada harga  di antara RM2 hingga RM10.

Oleh itu tidak hairan jika Kedai Aiskrim Kak Esah Behor Mali menjadi tumpuan bukan sahaja  masyarakat setempat malah turut menerima tetamu dari  Perak, Johor, Melaka dan Singapura yang datang ke sini untuk menikmati hidangan istimewa selatan Thailand yang disediakan.

Sekali pandang kedai makan yang terletak di hadapan sebuah rumah kampung tidak ubah seperti kedai makan biasa, namun kedai yang diusahakan oleh Ismahasah Mutalib, 38 atau lebih dikenali sebagai Kak Esah menawarkan pelbagai hidangan masakan ala Hatyai dan masakan barat  dengan konsep  'plating' (persembahan hidangan mantap) bertaraf hotel lima bintang, mampu memberi pengalaman unik kepada setiap  pengunjung pada harga rendah.

 Ismahasah berkata walaupun harga makanan di kedainya  rendah berbanding dengan harga di restoran lain, beliau cuba membawa kelainan dengan menggunakan kreativiti menghias makanan sepertimana juadah yang dihidangan oleh hotel bertaraf lima bintang.

“Saya rasa seronok dan berpuas hati apabila dapat hidangkan makanan bukan hanya sedap tapi cantik dipandang sepertimana makanan yang terdapat di hotel...saya hanya pelajari teknik menghias makanan menguna konsep ‘plating’ terutama untuk juadah aiskrim daripada laman sosial Youtube,” katanya kepada Bernama baru -baru ini.
 
Katanya walaupun menjual makanan serendah RM2, beliau masih mendapat untung kerana tidak perlu membayar sewa kedai berbanding dengan pengusaha kedai makan lain.

“Bagi saya bukan semua orang mampu makan di restoran mewah atau hotel bertaraf lima bintang..dengan cara ini saya dapat membantu orang ramai khususnya mereka yang mempunyai keluarga besar dan orang kampung menikmati juadah ala restoran mewah pada harga mampu bayar.

“Buat apa kenakan harga tinggi jika orang hanya datang makan sekali dua sahaja..saya rasa lebih puas dan gembira apabila dapat melihat orang ramai kerap datang makan di sini,”katanya sedang tekun  meletakan keju parut bagi menghiasi aiskrim keju yang merupakan salah satu daripada menu baharunya.

Ismahasah berkata beliau menyedari kebanyakan orang tempatan sangat menggemari masakan Thailand ketika pernah bekerja sebagai pembantu kedai makan masakan Thailand sebelum ini. 

Justeru antara menu masakan yang disediakan ialah kerabu megi, kerabu kaki ayam, kuetiau sup Thai, serta  turut tidak ketinggalan menu barat seperti Chicken Chop dan Meatball pada harga RM5. 

Turut tidak ketinggalan minuman lazat bertaraf kafeteria seperti minuman berasaskan susu segar boba antaranya teh hijau boba, dan pencuci mulut seperti ais krim yogurt mangga, kiwi, strawberi dan banyak lagi.
 
Sementara itu pelanggan yang ditemui rata-rata  berpuas hati dengan makanan yang dihidangkan pada harga yang sangat murah serta penampilan yang menarik.

Seorang pekerja swasta, Zurina Ahmad, 32 dari Bintong dekat sini berkata beliau dan rakan sepejabat sering makan tengah hari di sini kerana makanan di Kedai Kak Esah bukanya sahaja sedap tetapi murah.

“Mana nak cari aiskrim yogurt dengan buah potong segar pada harga RM3...rata-rata pengusaha lain akan kenakan harga sekitar RM5 ke atas itupun tanpa buah potong,” katanya sambil menikmati aiskrim kiwi.

Zurina berkata selain aiskrim hidangan paling ‘top’ di sini adalah nasi daging bakar Dannok yang dijual pada harga RM5 bagi set biasa dan RM10 set istimewa yang menjadi pilihan utama beliau dan rakan-rakannya.

“Disamping makanan di sini sedap dan murah..Kak Esah seorang yang peramah dan beliau mudah mesra dengan sesiapa sahaja yang datang ke sini ..malah saya anggap beliau seperti kakak saya,” katanya.

 Bagi Asmah Mansor, 52 berkata beliau gemar makan sup kaki ayam, malah Kak Esah tidak kedekut untuk berkongsi resipi.

“Mana nak cari makanan sedap pada harga bawah RM10 sekarang ini..saya suka makan kat kedai ini sebab makanan di sini bukan sahaja sedap tetapi cantik seperti makan kat restoran mewah..tidak keterlaluan jika saya katakan menu di kedai ini bertaraf lima bintang tapi harga warung,”kata penjawat awam itu.
-- BERNAMA
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

NSY AMA AKT

Thursday , 16 January 2020
LihatTutupKomentar
Cancel