'Orang kuat' Keadilan Tanjong Manis letak jawatan


TANJONG MANIS: Gelombang haba melanda kem Pakatan Harapan di Tanjong Manis. 

Apa tidaknya, beberapa 'orang kuat' Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang Keadilan Tanjong Manis mengumumkan peletakan jawatan semalam.

Ia sekali gus menggemparkan serta memberi tempias kepada kem Keadilan Sarawak dan Pakatan Harapan.

Peletakan jawatan melibatkan AJK cabang seramai 12 orang, lapan AJK Wanita dan 15 orang AJK Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Malah pihak yang meletakkan jawatan nekad berbuat demikian dengan menyatakan keputusan tidak  dipengaruhi mana-mana pihak yang terlibat.

Malah, tindakan kepimpinan tertinggi Keadilan Rakyat yang  membatalkan Calon Ketua Cabang Keadilan, Dato' Sri Aditajaya Abang Alwi tanpa alasan kukuh telah menjerumus kepada peletakan jawatan beramai-ramai tersebut.

Bekas AJK Cabang Keadilan Tanjong Manis, Annuar Basri berkata, pihaknya dipilih atas dasar menang tanpa bertanding disebabkan oleh pihak yang satu lagi telah berpakat dengan AJK -AJK mereka yang lain untuk menarik diri.

Menurutnya, mereka bertindak demikian agar pemilihan tidak dijalankan sekali gus menyebabkan Cabang menang tanpa menjalani apa-apa proses pemilihan.

Katanya, tindakan peletakan jawatan dibuat kerana mereka tidak mahu bekerjasama dengan Ketua Cabang Keadilan Tanjong Manis yang tidak dipilih dengan cara dan pemilihan yang betul.

"Kami juga telah mengemukakan usul tidak percaya kepada pucuk pimpinan parti Keadilan dan Ketua Cabang yang dilantik kerana tidak melalui proses pemilihan yang sah mengikut perlembagaan parti sedia ada.

"Terdapat unsur rasuah dan salahguna kuasa dalam pemilihan Cabang Keadilan Tanjong Manis yang diadakan pada November lalu," katanya pada sidang media.
LihatTutupKomentar
Cancel