Pasangan kekasih rompak doktor dicekup

 

KUALA LUMPUR; Seorang pembantu klinik wanita dan teman lelakinya ditahan polis kerana disyaki terlibat melakukan jenayah samun terhadap seorang doktor di sebuah klinik di Taman Pandan Indah, Ampang Jaya semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Noor Azmi Yusoff berkata pihaknya telah menerima laporan berhubung seorang lelaki bersenjatakan objek menyerupai pistol menyamun seorang doktor di klinik terbabit pada kejadian 8.48 pagi tadi. 

“Hasil siasatan dan semakan rakaman CCTV (kamera litar tertutup) di dalam klinik itu mendapati seorang lelaki masuk ke dalam klinik dan keluar selepas beberapa minit dengan wang hasil perniagaan klinik.

“Siasatan lanjut terhadap pembantu klinik mendapati keterangannya meragukan dan dia didapati telah berpakat dan bersubahat dengan teman lelakinya berumur 26 tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Tambahnya, suspek wanita berumur 24 tahun ditahan di klinik berkenaan manakala suspek lelaki ditahan di kedai kopi di Pandan Indah pada hari yang sama.

Mengulas lanjut, katanya pihak polis turut merampas pakaian yang dipakai oleh suspek semasa kejadian, wang tunai RM310 dan dua resit deposit tunai RM2,050 bagi membantu siasatan. 

“Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaaan kerana melakukan rompakan bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan,” katanya.
-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel