Petani alu alukan rancangan eksport Terong Dayak

KOTA SAMARAHAN, 14 Jan: Pekebun sayur di negeri ini menyambut baik cadangan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk Sarawak mengeksport terung asam ke Singapura.

 Antaranya, Lydia Suwen, 54 dari Siburan yang berharap kerajaan Sarawak dapat menyertakan terung asam ditanam di kebunnya juga ke negara jiran itu selepas ini.

 "Saya juga berharap harga bekalan terung asam terbabit yang diambil dari kalangan pekebun seperti kami pada harga yang baik atau mengikut harga pasaran semasa,"katanya yang membuka gerai menjual pelbagai sayuran termasuk terung asam di sini, semalam.

Lydia berkata harga jualan terung asam bukan sahaja perlu mengambil kira kos menanamnya tetapi juga kesukaran menanam sayuran itu yang dari pengalamannya bukan sahaja pokoknya cepat mati malahan buahnya cepat rosak setelah dipetik.

 "Saya dimaklumkan rakan yang harga pasaran semasa terung asam ketika ini adalah sekitar RM9 sekilogram. Manakala di gerai saya ini, terung terbabit dijual murah pada RM2 setompok,"katanya. 

Abang Johari meminta penduduk negeri ini menanam sebanyak mungkin terung asam bagi bekalannya dapat mula dieksport ke Singapura.

Beliau berkata ini kerana terung asam menjadi makanan digemari penduduk negara jiran itu bagi menjaga kecantikan dan kulit disamping kerajaan negeri sudah ada Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATOS) di Singapura.

Ketua Menteri berkata demikian ketika merasmikan program Sarawakku Sayang, Jaga Sarawak. Intu Sarawak di dataran terbuka bersebelahan Dewan Suarah Samarahan, di sini, semalam.
tamat

1. Lydia Suwen, 54, menunjukkan terung asam yang diambil dari kebun sayur dan dijual gerainya di Kota Samarahan.
LihatTutupKomentar
Cancel