PGA selamatkan 18 ekor burung terlindung
MIRI: Sebanyak 18 ekor burung pelbagai spesis terlindung termasuk dua ekor sugar glider (Petaurus Breviceps) yang dianggarkan bernilai RM30,150 berjaya diselamatkan Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri dalam serbuan yang dijalankan di sebuah premis di bandaraya Miri pagi tadi.
Dalam serbuan jam 10.15 pagi itu spesis burung yang diselamatkan ialah empat ekor burung murai kampung, seekor burung jenis love bird, seekor burung serindit (Hanging Parrot), seekor burung king-king, dua ekor burung tiong mas (Mommon Hill Myna), tiga ekor burung kapas tembak, tiga ekor burung murai batu, dua ekor burung merbuk balam (Zebra Dove), seekor burung merbuk siam dan dua ekor sugar glider (Petaurus Breviceps).
Pegawai Pemerintah, Superintendan Tan Hiap Seng berkata, seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun dipercayai penjaga premis berjaya ditahan dalam serbuan itu.
"Pasukan diketuai Asisten Superintendan (ASP) Ho Chee Kun bertindak menyerbu masuk ke dalam premis ini bagi menjalankan pemeriksaan.
"Kita menjumpai pelbagai jenis burung liar spesis terancam yang disimpan dalam sangkar burung mengikut gred dan baka burung terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata,pemeriksaan lanjut yang dijalankan turut mendapati lelaki terbabit gagal menunjukkan sebarang dokumen serta permit yang sah untuk memiliki semua spesis hidupan liar yg berada di premis itu.
"Pemilik premis telah ditahan bagi membantu siasatan,"ujarnya.
Menurutnya lagi, kesemua spesis hidupan liar yang dirampas akan diserahkan kepada pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) Cawangan Miri untuk siasatan di bawah Seksyen 29 Sarawak Wildlife Protection Ordinance 1988.