PKR Sarawak tubuh pasukan tindakan cemas
KUCHING: Menjelang ketibaan Tahun Baharu Cina hujung minggu ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menubuhkan satu Pasukan Tindakan Kecemasan bagi membantu dalam menangani sebarang panggilan kecemasan, khususnya dari kalangan pengguna Lebuhraya Pan Borneo.
Naib Pengerusi PKR Sarawak, See Chee How berkata Pasukan Tindakan Kecemasan itu ditubuhkan dengan kerjasama Rakan Pelaksana Projek (PDP) Lebuhraya Pan Borneo.
Beliau berkata sekiranya ada sebarang kecemasan seperti kemalangan jalan raya yang disebabkan keadaan jalan raya yang tidak memuaskan dan sebagainya, orang ramai boleh menghubungi pegawai-pegawai yang bertugas bagi mendapatkan bantuan.
“Pengguna-pengguna lebuhraya yang memerlukan bantuan kecemasan semasa tempoh sambutan Tahun baharu Cina ini bolehlah menghubungi Azman Hashim dengan menelefon 012-209 7853, Abdul Rahman Kadir 017-854 4075 atau Masdi Baharom 019-248 3358,” katanya pada sidang media di Pejabat PKR Sarawak di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Chee How berkata PKR Sarawak akan menganjurkan majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina di perkarangan pejabat PKR Sarawak, Batu Tiga, di sini, pada 28 Jan, Selasa ini dari pukul 11 pagi hingga 2.00 petang, dan orang ramai orang ramai dijemput datang untuk bersama-sama meraikannya.
Chee How berkata, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga merupakan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dijangka akan hadir bersama memeriahkan sambutan itu. - Bernama