PKR sudah ada calon PRN12


KOTA SAMARAHAN, 19 Jan: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak sudah menyediakan bakal calonnya bagi bertanding pada pilihan raya negeri akan datang dan kini tidak akan menerima calon "last minute" atau calon dari luar.

Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian berkata demikian dengan persediaan dari segi menentukan bakal calon parti terbabit sudah bermula sejak tahun lepas dan ketika ini parti itu hanya sedang meneliti bakal calon terbabit. 

"Kita tidak menerima calon last minute atau calon terjun masuk begitu dari luar atau mana sahaja. Ini perkara biasa, tetapi yang penting dan baiknya orang yang kita nak sabung mesti sudah berjuang dan bersama ahli kita, bersama pemimpin kita dari mula sampai sekarang,"katanya selepas merasmikan Pejabat Keadilan Stakan, di Taman Samarindah, di sini, hari ini.

Baru Bian berkata bagi agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak antara parti komponen Pakatan Harapan (PH), pakatan terbabit sudah bermesyuarat semalam dan menubuhkan satu jawatankuasa bagi agihan kerusi itu dengan tiap parti ada dua wakil dalam jawatankuasa itu. 

"Mereka diberi arahan supaya duduk dan berbincang dan menyelesaikan isu mengenai kerusi terbabit secepat yang mungkin dan lagi cepat lebih baik. Lepas itu kita akan teruskan dengan calon-calon kita,"katanya.

Sementara itu mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis di Sabah dimenangi Barisan Nasional (BN) semalam, beliau berkata PKR Sarawak menerima keputusan rakyat Kimanis itu kerana mereka berhak membuat keputusan terbabit.

"Ia boleh bermaksud banyak perkara, ia boleh maksud itu satu pesanan samada kepada (Parti Warisan Sabah) WARISAN atau kerajaan pusat tentang banyak isu. Terdapat beberapa isu dibangkitkan pada pilihan raya itu merangkumi Pas Sementara Sabah (PSS), kegagalan kerajaan memenuhi manifesto dan isu tempatan,"katanya.

Katanya WARISAN sebagai kerajaan negeri Sabah dan PH sebagai kerajaan pusat mesti memberi maklumbalas terhadap isu terbabit dan melakukan juga bedah siasat penyebab rakyat tidak menyokong calon WARISAN.

BN mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis menerusi kemenangan calonnya, Datuk Mohamad Alamin, 47, pada PRK Parlimen Kimanis dengan majoriti 2,029 undi dan menewaskan calon WARISAN, Datuk Karim Bujang, 66, yang mendapat 10,677 undi dalam persaingan satu lawan satu.
TAMAT

Keterangan gambar:

1. Baru Bian ( tiga dari kanan) memotong riben sebagai simbolik merasmikan Pejabat Keadilan Stakan, di Taman Samarindah, di sini, hari ini.
LihatTutupKomentar
Cancel