Polis Sarawak sasar 65% kejayaan
KOTA SAMARAHAN, 20 Jan: Polis kontinjen Sarawak mensasarkan menyelesaikan melebihi 65 peratus keseluruhan kes jenayah yang dilaporkan di negeri ini sepanjang tahun ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Ramli Din berkata ini selepas dari 6,000 kes jenayah yang telah dilaporkan di negeri ini sepanjang tahun lepas, pasukan polis berjaya menyelesaikan sebanyak 65 peratus kes terbabit.
"Ini bermaksud daripada 10 kes (jenayah) yang dilaporkan kepada pasukan polis (tahun lepas), sebanyak 6.5 kes terbabit telah berjaya diselesaikan. Tahun ini, kita akan bertindak lebih agresif lagi dan mensasarkan peratusan penyelesaian yang lebih tinggi daripada itu (65 peratus),"katanya ketika menghadiri Majlis Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sarawak Bersama Pemimpin Masyarakat Di Daerah Kota Samarahan, di Ibupejabat Polis (IPD) Kota Samarahan, di sini, hari ini.
Ramli berkata antara trend jenayah yang mula menimbulkan kebimbangan kepada polis di Sarawak tahun ini ialah jenayah dadah dan jenayah komersil berkaitan penipuan.
Malahan pihaknya membuka tirai tahun baharu 2020 dengan berjaya merampas lebih sembilan kilogram dadah jenis syabu dan 20,000 biji lebih pil estacy bernilai lebih RM1 juta dan menangkap tujuh orang saspek di Miri.
"Dua hari selepas itu, kita telah menangkap lagi dan merampas lagi dadah bernilai lebih kurang RM300,000 dadah. Jadi dalam tempoh tiga hari selepas tahun baharu, kita berjaya merampas dadah bernilai lebih kurang RM1.5 juta,"katanya.
Beliau berkata pihaknya percaya jumlah dadah bernilai RM1.5 juta terbabit boleh diambil seramai sehinga 50,000 sehingga 60,000 orang penagih dadah di negeri.
Beliau berkata pada 2018 jumlah kerugian akibat jenayah komersil hanya sekitar RM70 juta di seluruh Sarawak tetapi pada tahun 2019 jumlah kerugian terbabit pada tahun lepas mencecah RM120 juta.
"Walaupun jumlah kes jenayah komersil yang dilaporkan ini menurun sebanyak 25 peratus (tahun lepas), tetapi jumlah nilai kerugiannya meningkat lebih daripada 40 peratus dan itulah menyebabkan nilai kerugiannya RM120 juta tahun lepas,"katanya.
Ramli Din berkata jenayah komersil di negeri ini kebanyakkannya kes penipuan dengan terbaharu tahun ini ialah seorang wanita kerugian hampir RM2 juta setelah menjual rumah, tanah dan kehilangan simpannya kerana ditipu.
tamat
keterangan gambar:
1.Datuk Ramli Din ( tiga dari kanan) menerima cenderahati dari ketua masyarakat Kota Samarahan ketika menghadiri Majlis Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sarawak Bersama Pemimpin Masyarakat Di Daerah Kota Samarahan, di Ibupejabat Polis (IPD) Kota Samarahan, di sini, hari ini.